RANTAU PANJANG - Helah penyeludup petrol mengisi minyak hanya sekali sehari di stesen minyak berbeza bagi mengelak dikesan pihak berkuasa terbongkar apabila sebuah kenderaan ditinggalkan bersama 300 liter petrol di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Lalang Pepuyu di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menerusi Op Taring Wawasan mengesan sebuah Perodua Kenari dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemandu kereta terbabit bertindak memecut laju ke arah kawasan ladang kelapa sawit sebaik menyedari kehadiran anggota bertugas.
Menurutnya, anggota PGA kemudian mengejar kenderaan tersebut sebelum menemui kereta itu ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa dengan tingkap pemandu terbuka dan tidak berkunci.
"Usaha mengesan suspek di sekitar kawasan ladang gagal namun pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 10 tong plastik mengandungi 300 liter petrol yang dipercayai untuk diseludup ke Thailand," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket menggunakan modus operandi membeli petrol di beberapa stesen minyak sekitar Jeli dan Tanah Merah yang kurang pemantauan pihak berkuasa.
Katanya, mereka hanya mengisi minyak sekali sehari di setiap stesen bagi mengelak dikesan melakukan pembelian berulang di lokasi sama.
"Minyak yang diperoleh kemudian disedut keluar daripada tangki kenderaan dan dipindahkan ke dalam tong plastik sebelum dibawa ke pangkalan haram untuk diseludup ke negara jiran.
"Taktik itu dipercayai digunakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan mengelakkan aktiviti mereka dihidu lebih awal," katanya.
Tambah beliau, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM11,116 termasuk kenderaan yang digunakan.
Katanya, kes dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tanah Merah untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.