Enam PM bertukar, Larry masih kekal

Iklan
Larry berjaga di hadapan pintu hitam ikonik No. 10 Downing Street di London. Foto ihsan Horatio Lovering

LONDON – Ketika dunia politik Britain sekali lagi berdepan perubahan kepimpinan susulan peletakan jawatan Perdana Menteri, Keir Starmer, perhatian ramai beralih kepada penghuni paling lama di No. 10 Downing Street iaitu seekor kucing belang berusia 19 tahun bernama Larry.

Larry, yang memegang gelaran rasmi sebagai 'Ketua Pemburu Tikus Pejabat Kabinet', telah menetap di kediaman rasmi Perdana Menteri Britain sejak 2011 dan kini bakal menyambut ketibaan Perdana Menteri ketujuh sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Iklan
Iklan

Larry pada asalnya dibawa dari pusat perlindungan haiwan Battersea Dogs & Cats Home selepas dipilih kerana reputasinya sebagai haiwan yang cekap membasmi masalah tikus di bangunan bersejarah tersebut.

Sejak hampir 15 tahun berkhidmat di Downing Street, Larry telah menyaksikan pertukaran beberapa Perdana Menteri bermula dengan era David Cameron, diikuti Theresa May, Boris Johnson, Liz Truss, Rishi Sunak dan Keir Starmer.

Iklan

Larry mengenakan tali leher bercorak bendera Union Jack di Bilik Kabinet, No. 10 Downing Street, pada 28 April 2011. Foto: NPR

Kehadiran Larry di kediaman rasmi Perdana Menteri Britain itu turut menjadikannya saksi kepada pelbagai peristiwa penting, termasuk kunjungan pemimpin dunia seperti bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, serta Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, yang pernah hadir ke Downing Street dalam lawatan rasmi dan pertemuan diplomatik.

Iklan

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Larry turut dikenali dengan perangai tegas dan wilayahnya yang 'dijaga rapi', termasuk insiden menghalau seekor musang dari kawasan Downing Street.

Kucing itu juga pernah mempunyai 'musuh' dengan kucing pejabat kerajaan sebelum ini, Palmerston yang telah mati pada Februari lalu, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai penghuni dominan di kawasan berkenaan.

Larry mula ditempatkan di Downing Street pada tahun 2011 ketika era pentadbiran David Cameron, yang merupakan Perdana Menteri paling lama berkhidmat sepanjang tempoh kucing itu berada di situ sebelum berundur pada 2016 susulan referendum Brexit yang mengubah landskap politik Britain secara drastik.

David Cameron bergambar bersama Larry di No. 10 Downing Street. Foto ihsan Lord Cameron.

Sejak itu, Britain menyaksikan perubahan kepimpinan yang semakin pantas, termasuk tempoh pentadbiran yang singkat, pergolakan dalaman parti politik utama serta tekanan awam yang membawa kepada beberapa pertukaran Perdana Menteri dalam tempoh kurang satu dekad.

Simbol kestabilan

Walaupun sering dikaitkan dengan humor politik dalam media sosial, Larry sebenarnya telah menjadi simbol tidak rasmi kestabilan di Downing Street, apabila satu-satunya 'penghuni tetap' yang tidak terjejas oleh turun naik kuasa politik negara tersebut.

Dalam keadaan ketika Britain terus berdepan cabaran ekonomi, tekanan politik dan ketidakstabilan kepimpinan, Larry kekal sebagai ikon unik yang merentasi perubahan zaman, sekali gus menjadikannya antara 'saksi senyap' paling lama dalam sejarah politik moden United Kingdom.

Larry ketika diusap oleh Obama di No. 10 Downing Street pada tahun 2011. Foto: Pete Souza.

Malah dengan rekod berkhidmat di bawah enam Perdana Menteri dan bakal menyaksikan ketibaan pemimpin ketujuh, Larry kini dilihat sebagai satu-satunya penghuni Downing Street yang kekal kebal daripada pergolakan politik, pemberontakan parti dan turun naik sokongan rakyat. – Agensi

INFO TENTANG LARRY:

  • Kucing rasmi 10 Downing Street
  • Berkhidmat sejak 2011
  • Dari Battersea Dogs & Cats Home
  • Tugas: kawal tikus
  • 'Berkhidmat' dengan enam Perdana Menteri UK. (Dari David Cameron hingga Keir Starmer)
  • Penghuni paling lama Downing Street
  • Pernah halau musang
  • Simbol kestabilan politik UK