KOTA KINABALU - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan kejadian buli melibatkan murid di sebuah sekolah di Tenom, selain menyerahkan siasatan utama kepada polis.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, siasatan sedang dijalankan bagi menentukan sama ada kejadian tersebut benar-benar berunsur buli atau hanya berlaku secara spontan.
"Pihak sekolah telah pun mengambil tindakan dan oleh kerana pihak polis terlibat, kami serahkan kepada pihak polis dulu untuk menyiapkan siasatan.
"Kita akan membuat satu siasatan menyeluruh sama ada perbuatan murid itu adalah perbuatan yang berterusan ataupun hanya berlaku secara spontan pada masa itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Beliau mengulas mengenai video yang tular melibatkan seorang murid dipukul dan ditarik rambut dalam kejadian di sebuah sekolah di pedalaman negeri ini.
Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa tindakan akan diambil sekiranya siasatan mengesahkan wujud unsur buli, namun keputusan perlu berdasarkan hasil siasatan penuh.
"Kalau ia benar murid itu membuli, kita tidak boleh bertolak ansur dan akan ambil tindakan mengikut peraturan sedia ada," katanya.
Dalam masa sama katanya, JPN Sabah turut memberi sokongan emosi kepada mangsa yang terlibat sementara siasatan dijalankan.
"Kami akan memberikan sokongan emosi kepada budak yang didakwa dibuli itu," katanya.
Beliau dalam pada itu turut meluahkan rasa dukacita terhadap kejadian yang berlaku di asrama sekolah berkenaan, khususnya melibatkan murid sekolah rendah.
"Sepatutnya mereka saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Kita berharap kejadian ini bukan satu bentuk buli, tetapi mungkin tindakan spontan akibat gagal mengawal emosi," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan murid atau pelajar agar lebih matang dalam mengawal emosi dan tidak menggunakan kekerasan dalam menyelesaikan masalah.
"Jangan sesekali bertindak melulu. Perkara kecil boleh diselesaikan secara harmoni, bukan dengan sentuhan fizikal atau tindakan yang boleh mengganggu emosi rakan lain," katanya.
Raisin turut meminta ibu bapa memberi ruang kepada pihak sekolah dan polis menjalankan siasatan sebelum sebarang tindakan diambil.
"Saya mohon ibu bapa bersabar, khususnya pihak yang terlibat. Kita tunggu siasatan lengkap daripada polis dan sekolah sebelum tindakan susulan diambil.
"Kami juga akan memberikan sokongan emosi kepada budak yang didakwa dibuli itu," katanya.