'Mangsa ah long berisiko terjerat dua kali' - Adam

Iklan
Adam (gambar kecil) berkata, ketika ini terdapat pelbagai pihak dan platform yang menawarkan bantuan berkaitan masalah ah long, namun mangsa perlu membuat semakan terlebih dahulu sebelum mendapatkan perkhidmatan tersebut. Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Mangsa pinjaman tidak berlesen atau ah long dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam memilih pihak yang menawarkan khidmat rundingan dan bantuan penyelesaian hutang bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan atau dikenakan caj yang tidak munasabah.

Ketua Unit Banteras Ah long di bawah DM Pusat Pengajian Al-Quran dan Fardhu Ain, Adam Mustapa berkata, ketika ini terdapat pelbagai pihak dan platform yang menawarkan bantuan berkaitan masalah ah long, namun mangsa perlu membuat semakan terlebih dahulu sebelum mendapatkan perkhidmatan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, terdapat segelintir pihak yang didakwa menggunakan kandungan media sosial atau berselindung di sebalik nama badan tertentu bagi menarik perhatian mangsa sebelum mengenakan pelbagai caj dan syarat yang membebankan.

“Ramai mangsa datang berkongsi pengalaman selepas mendakwa mereka menjadi lebih terbeban berbanding sebelum mendapatkan bantuan daripada pihak tertentu.

Iklan

“Justeru, orang ramai perlu lebih berhati-hati dan tidak membuat keputusan secara tergesa-gesa hanya berdasarkan promosi yang dilihat di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah kewujudan pejabat operasi yang jelas, struktur bayaran yang telus serta tempoh penyelesaian kes yang munasabah.

Iklan

Selain itu, katanya, mangsa juga perlu berwaspada sekiranya terdapat pihak yang menggalakkan mereka membuat pinjaman baharu semata-mata untuk membayar yuran rundingan atau menyelesaikan hutang sedia ada.

Menurut Adam, pihaknya turut menerima beberapa aduan daripada individu yang mendakwa dikenakan caj tinggi bagi khidmat konsultasi dan rundingan, namun masalah hutang yang dihadapi masih gagal diselesaikan.

Dalam satu kes, seorang peniaga mendakwa tertarik dengan kandungan di TikTok yang mempromosikan kaedah penyelesaian hutang tertentu, namun selepas mengemukakan maklumat pinjaman, jumlah bayaran yang dikenakan didakwa berbeza daripada yang dipromosikan.

Beliau turut mendakwa dikenakan yuran konsultasi RM50 serta caj rundingan sebanyak 20 peratus daripada nilai pinjaman, namun masalah hutangnya masih belum dapat diselesaikan.

Dalam kes berasingan, seorang pekerja mendakwa menghadiri sesi konsultasi yang mengenakan caj RM500 selain digalakkan membuat pinjaman daripada ah long lain bagi membayar yuran rundingan sebanyak 30 peratus.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan beban hutangnya semakin bertambah walaupun masalah asal masih belum dapat diselesaikan.

Seorang lagi pengadu pula mendakwa membayar RM100 bagi sesi konsultasi sebelum dikenakan yuran hampir RM8,000 dan diberikan tempoh hanya 14 hari untuk menyediakan jumlah pinjaman sekitar RM100,000.

Bagaimanapun, beliau mendakwa tidak mampu memenuhi syarat berkenaan dan tidak menerima penyelesaian yang diharapkan.

Adam berkata, situasi sedemikian boleh menyebabkan mangsa semakin tertekan serta terperangkap dalam kitaran hutang yang lebih besar.

“Kami bimbang apabila ada mangsa yang pada asalnya mahu mencari jalan keluar tetapi akhirnya menanggung beban kewangan yang lebih berat akibat caj yang tinggi atau keperluan membuat pinjaman baharu,” katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat supaya mendapatkan maklumat secukupnya dan meneliti latar belakang mana-mana pihak yang menawarkan khidmat penyelesaian hutang sebelum membuat sebarang komitmen kewangan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai pihak termasuk pertubuhan masyarakat dan badan bukan kerajaan turut memainkan peranan membantu individu yang berdepan masalah kewangan melalui khidmat nasihat, pendidikan serta bimbingan berkaitan pengurusan hutang.

Katanya, pendekatan berasaskan pendidikan dan kesedaran penting bagi membantu masyarakat mengelakkan diri daripada terus terjerumus dalam masalah hutang yang berpanjangan.