Jalan baharu bakal rancakkan ekonomi, atasi masalah trafik

Iklan
Jajaran projek Lebuh Meru Raya ke Persimpangan Lebuhraya Ipoh-Lumut di Jelapang.

Jajaran projek Lebuh Meru Raya ke Persimpangan Lebuhraya Ipoh-Lumut di Jelapang.

IPOH - Pembinaan jalan sambungan baharu dari Lebuh Meru Raya ke Persimpangan Lebuhraya Ipoh-Lumut di Jelapang dijangka menjadi pemangkin pembangunan ekonomi setempat selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di kawasan Bandar Meru Raya di sini.

Iklan
Iklan

Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, projek bernilai RM184.27 juta itu telah bermula sejak Mei lalu dan dijangka siap pada Januari 2029.

Menurutnya, laluan sepanjang kira-kira 2.4 kilometer itu akan menghubungkan Lebuh Meru Raya dengan Persimpangan Jelapang yang seterusnya memberi akses lebih mudah ke Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Ipoh-Lumut.

Iklan

"Faedah utama projek ini ialah mengurangkan kesesakan trafik di laluan sedia ada yang kini sempit serta dikelilingi kawasan perindustrian. Dengan adanya jalan baharu ini, perjalanan akan menjadi lebih lancar dan cepat.

ASMUNI

Iklan

"Walaupun jaraknya tidak begitu panjang, ia mampu memendekkan masa perjalanan kerana dibina sebagai jalan berkembar empat lorong," katanya kepada Sinar Harian.

Asmuni berkata, projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) itu turut merangkumi pembinaan tiga jambatan baharu merentasi Sungai Meru, kawasan berpaya dan Sungai Kati serta kerja menaik taraf persimpangan sedia ada.

Jelasnya, kawasan yang kini sebahagian besarnya masih berhutan dan mempunyai beberapa kolam berpotensi berkembang menjadi kawasan pembangunan baharu apabila akses jalan raya dipertingkatkan.

"Apabila jaringan jalan bertambah baik, ia bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk malah mampu menarik lebih banyak aktiviti ekonomi dan pelaburan ke kawasan sekitar," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, projek itu melibatkan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Manjoi dan Jelapang serta memerlukan pengambilan beberapa lot tanah.

Sementara itu, penduduk Gerbang Meru Indah, Sharifah Shazfika Syed Mohamed Rahim, 24, berkata, jalan baharu tersebut mampu mengubah corak pergerakan harian penduduk yang selama ini bergantung kepada satu laluan utama.

SHARIFAH SHAZFIKA

Katanya, ketika waktu puncak, perjalanan yang kebiasaannya mengambil masa 10 hingga 15 minit boleh menjadi dua hingga tiga kali lebih lama akibat kesesakan.

"Selain menjimatkan masa, saya melihat projek ini sebagai pemangkin pembangunan kawasan sekitar yang berpotensi menarik pelaburan, membuka peluang perniagaan dan meningkatkan nilai hartanah,” katanya.

Jaringan jalan raya baharu itu juga amat penting dalam memastikan beberapa kawasan pertumbuhan di daerah Kinta khususnya Silver Valley Technology Park (SVTP) berkembang lebih pesat.

Perkara itu juga selari dengan hasrat kerajaan negeri Perak menerusi pelan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.