KUANTAN - Sasterawan Negara, Datuk Rahman Shaari antara enam tokoh penerima Anugerah Tokoh Pemuisi Malaysia 2026 sempena kemuncak Sambutan Hari Puisi Malaysia (HPM) Keenam yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Jengka, Bandar Pusat Jengka, Sabtu lalu.
Pada majlis itu, beliau dianugerahkan Anugerah Tokoh Pemuisi Sepanjang Hayat manakala Penolong Naib Canselor, Pemerkasaan Adiwangsa UiTM, Profesor Dr Amer Shakir Zainol menerima Anugerah Tokoh Permata Budi Pemuisi Malaysia.
Turut diraikan Profesor Dr Victor A Pogadaev, Rusia (Anugerah Tokoh Ikon Pemuisi Sedunia), Ahmad Ramli (Anugerah Tokoh Bitara Seni Pemuisi Malaysia), Sabri Yunus (Anugerah Tokoh Idola Pemuisi Malaysia) dan Noor Azman Norawi @Man Kayan (Anugerah Tokoh Pemuisi Negeri Pahang).
Majlis anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama UiTM dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu dirasmikan Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob.
Pada majlis itu, Dr Ismail Sabri turut menyempurnakan acara penganugerahan dengan menyarungkan Selempang Anugerah serta menyampaikan plak serta sijil kepada semua penerima.
Sementara itu, Ismail Sabri menyambut baik usaha penganjuran sambutan HPM yang kini memasuki edisi keenam.
Beliau berkata, HPM satu usaha penting dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa budaya dan bahasa peradaban bangsa selain menjadi wadah mengingatkan masyarakat bahawa kemajuan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal dan pencapaian ekonomi semata-mata.
"Justeru, penganjuran acara ini bertepatan dengan usaha berterusan memperkukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan" katanya dalam ucapan perasmian sambutan tersebut baru-baru ini.
Dr Ismail Sabri turut berkata, ketika dunia semakin dipengaruhi globalisasi dan teknologi digital, puisi menjadi salah satu medium memperkayakan kosa kata serta mengekalkan nilai-nilai murni yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
"Saya berharap Hari Puisi Malaysia ini bukan sekadar meraikan karya-karya puisi, tetapi meraikan jati diri bangsa, memperkukuhkan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan dan memastikan khazanah kesusasteraan negara terus hidup merentasi zaman" katanya.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan buku terbitan PEMUISI berjudul 'Sebatang Pohon Tua' karya Datuk Wanrazuhar yang diterjemah ke bahasa Rusia oleh Profesor Dr Victor A Pogadaev.
Sementara itu dalam majlis sama, Presiden PEMUISI, Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata,sambutan Hari Puisi Malaysia seharusnya dijadikan medan memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara warisan puisi sastera negara.
Menurutnya, puisi juga sebagai wadah penting dalam membangkitkan kesedaran dan rasa kecintaan kepada negara.
"Puisi -puisi harmoni yang digarap dengan berseni juga mampu melahirkan nilai jati diri dan membentuk keharmonian dalam masyarakat dan negara.
"Generasi muda perlu didedahkan kepada pelbagai bentuk puisi sejak di bangku sekolah lagi agar mereka mengenali akar budaya bangsa dan menghargai keindahan bahasa Melayu," katanya.
Pada masa yang sama menurutnya, para pemuisi perlu terus berusaha meningkatkan mutu karya masing-masing melalui pembacaan, kajian dan penguasaan ilmu bahasa.
"Karya yang baik lahir daripada gabungan bakat, disiplin, pengalaman dan ilmu. Semangat berkarya hendaklah disertai dengan kesungguhan untuk memahami prinsip-prinsip asas penulisan serta menghormati tradisi kesusasteraan yang telah dibina oleh tokoh-tokoh terdahulu," ujar beliau lagi.
Dr Amer Shakir pula berkata, UiTM sentiasa membuka pintu kerjasama dengan badan-badan sastera seperti PEMUISI dalam melaksanakan program-program puisi, seni, sastera dan budaya.
"Di bawah Pemerkasaan Adiwangsa UiTM juga, program-program yang berkaitan dengan sastera seni budaya dilaksanakan. Setakat ini UiTM sudah tiga kali bertindak sebagai rakan strategik dengan PEMUISI dalam penganjuran HPM dan Majlis Dirgahayu Tuanku," katanya.
Saya berharap lebih banyak lagi program akan dapat diadakan bersama pada masa-masa hadapan", katanya.
Sambutan HPM edisi keenam itu mendapat sambutan yang begitu hangat, bukan sahaja dalam kalangan pegawai dan pelajar UiTM Kampus Jengka, malahan dalam kalangan masyarakat luar kampus.