KUALA TERENGGANU - Padah menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah, seorang lelaki cedera ringan selepas kenderaannya hilang kawalan lalu merempuh pintu kaca Zon Kecemasan (Zon Hijau) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu daripada seorang Penolong Pegawai Perubatan jam 5.03 pagi.
Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati penunggang motosikal berusia 28 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha Nouvo LC datang dari arah Jalan Sultan Mahmud menghala ke zon kecemasan hospital berkenaan.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang lelaki itu tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh pintu kaca di zon hijau terbabit menyebabkan suspek mengalami luka ringan di tangan kanan dan kiri," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Azli berkata, semakan lanjut mendapati motosikal tersebut adalah milik abang kandung suspek dan cukai jalan (LKM) kenderaan berkenaan juga didapati telah tamat tempoh sejak 22 April 2025.
Jelas beliau, suspek kini masih ditahan di wad hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan.
"Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai status lesen memandu serta pekerjaan suspek dan kes kini diklasifikasikan di bawah Rule 10 LN 166/59," ujarnya.