UKKM lantik 10 tokoh industri, profesional sebagai Profesor Adjung, Profesor Industri

Iklan
Mohd Fuzi (dua dari kiri) sambil diiringi Rosli (dua dari kanan) menyampaikan sijil pelantikan kepada salah seorang penerima di Auditorium Dato’ Abdul Majid, IKMa pada Selasa.

PETALING JAYA - Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) melantik 10 tokoh industri dan profesional sebagai Profesor Adjung dan Profesor Industri dalam usaha memperkukuh hubungan antara dunia akademik dan industri sekali gus memastikan pendidikan tinggi kekal relevan dengan keperluan semasa.

Pro Canselor UKKM, Tan Sri Mohd Fuzi Harun berkata, pelantikan itu bukan sekadar satu pengiktirafan terhadap pencapaian profesional individu yang dipilih, sebaliknya merupakan tanggungjawab besar untuk berkongsi pengalaman, membimbing generasi baharu serta membantu membentuk masa depan pendidikan tinggi negara.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, hubungan antara universiti dan industri kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi satu keperluan dalam melahirkan graduan yang benar-benar bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

"Universiti perlu memahami kehendak industri, manakala industri pula perlu membantu membentuk bakat masa depan," katanya semasa berucap pada majlis itu di Auditorium Dato’ Abdul Majid, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di sini pada Selasa.

Iklan

Seramai lapan tokoh dilantik Profesor Adjung dan dua lagi sebagai Profesor Industri bagi tempoh 2025 hingga 2028.

Antara yang dilantik sebagai Profesor Adjung ialah Group Managing Partner UHY Malaysia PLT Group of Companies, Datuk Tee Guan Pian dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Norafizah Shiak Abd Rahman.

Iklan

Bagi jawatan Profesor Industri pula, antara yang menerima pelantikan ialah Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal dan Pengerusi Anggota Lembaga Koperasi MOCCIS Berhad, Datuk Ahmad Sobri Wan Teh.

Majlis itu disusuli sesi syarahan khas oleh Ahmad Norihan yang mengupas strategi pemerkasaan gerakan koperasi negara serta Profesor Adjung, Dr Muhammad Ridha Haykal Amal pula berkongsi pandangan mengenai pembangunan ekonomi luar bandar dan komuniti akar umbi dari perspektif serantau.

Sementara itu, Pengerusi UKKM, Datuk Wira Dr Rosli Mat Hassan berkata, penglibatan pakar industri dan profesional amat penting bagi memastikan kurikulum serta aktiviti akademik universiti sentiasa relevan, dinamik dan memenuhi keperluan semasa pasaran.

Naib Canselor UKKM, Profesor Datuk Dr Azali Mohamed berkata, gabungan pengalaman lapangan dan kepakaran praktikal tokoh yang dilantik diyakini mampu melahirkan graduan lebih kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

"Selain itu, mereka juga mampu membentuk graduan yang berintegriti untuk menerajui sektor keusahawanan serta koperasi di peringkat nasional dan antarabangsa," tambah beliau.