OKU didakwa amang seksual terhadap pelajar perempuan di stesen bas

Iklan
Seorang lelaki OKU dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas dua pertuduhan amang seksual fizikal dan komunikasi seksual terhadap seorang pelajar perempuan, minggu lalu.

IPOH – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas dua pertuduhan amang seksual fizikal dan komunikasi seksual terhadap seorang pelajar perempuan, minggu lalu.

Tertuduh, Gopinad Gulam Mohamad, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 14 tahun 10 bulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah perhentian bas di Jalan Ipoh–Kampar, Kampung Batu Berangkai dalam daerah Kampar kira-kira jam 2.05 petang pada 18 Jun 2026.

Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang telah berkahwin didakwa berkomunikasi secara seksual dengan mangsa sama dengan mengeluarkan kata-kata berunsur lucah di lokasi dan tarikh sama kira-kira jam 2.10 petang.

Iklan

Dia didakwa di bawah Seksyen 11(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, S Pavitra, memohon jaminan tinggi memandangkan kes berkenaan melibatkan mangsa bawah umur, berserta syarat tambahan termasuk melapor diri di balai polis, menyerahkan pasport serta mendapatkan kebenaran polis sebelum keluar dari daerah.

Katanya, walaupun mangsa tidak mempunyai hubungan dengan tertuduh, kedua-duanya tinggal berdekatan di daerah Kampar.

Tertuduh yang diwakili peguam Khesmin Kapil Singh Dhanoa bagaimanapun memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh seorang OKU fizikal di tangan kiri selain berpendapatan tidak menentu dan ditanggung isteri.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat melapor diri di balai polis berdekatan setiap awal bulan.

Tertuduh juga diperintahkan supaya tidak mendekati, mengganggu atau menghubungi mangsa dan keluarganya atau mana-mana saksi pendakwaan dalam kes ini.

Tarikh 28 Julai ini ditetapkan sebagai sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen.