TANGKAK - Parti Amanah Negara (Amanah) Johor membuat kejutan apabila mempertaruhkan calon Cina, Sharon Teo atau Teo Siew Hui bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau yang pernah menjadi memegang jawatan Penolong Setiausaha Amanah Johor dan Ketua Wanita Amanah Negara (Warda) Johor itu juga merupakan satu-satunya calon bukan Islam dan bukan Melayu yang mewakili parti berkenaan.
Iklan
Iklan
Sharon yang merupakan anak didik bekas Timbalan Presiden Amanah, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pencalonannya menepati konsep Rahmatan lil alamin iaitu Islam adalah rahmat untuk semua.
"Amanah sebenarnya adalah parti pelbagai kaum untuk semua, kita bawa satu konsep iaitu Rahmatan lil alamin," katanya ketika ditemui dalam Majlis Pengumuman Calon PH oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Bukit Gambir di sini, pada malam Isnin.
Beliau berazam untuk meneruskan kesinambungan dan legasi yang pernah dilakukan Salahuddin semasa menjadi Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram.
Menurutnya, pendekatan tersebut akan dipraktikkan di DUN Permas semasa berkempen nanti.
"Setiap pengundi yang saya jumpa mereka akan bawa isu ini. Saya akan cuba selesaikan kesesakan di Permas Jaya. Ini saya punya keutamaanlah selain kebajikan penduduk," katanya.