IPOH - Kerugian akibat ribut kuat yang melanda kawasan Bercham pada Jumaat lalu dianggarkan melebihi RM1 juta dengan hampir 460 keluarga terjejas melibatkan kerosakan rumah serta harta benda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bercham, Ong Boon Piow berkata, jumlah mangsa yang terlibat terus meningkat apabila penduduk yang berada di luar kawasan atau rumah yang tidak dihuni sebelum ini mula tampil membuat laporan kerosakan.
Menurutnya, berdasarkan rekod terkini, seramai 1,131 mangsa daripada 438 keluarga direkodkan setakat Ahad lalu, namun jumlah itu dijangka meningkat kepada hampir 460 keluarga selepas menerima laporan tambahan pada Isnin.
"Masih ada penduduk baru pulang ke rumah dan mendapati kediaman mereka turut terjejas.
"Ada juga rumah yang disewa atau telah lama dikosongkan, jadi jumlah mangsa mungkin bertambah sedikit lagi," katanya pada sidang media di kawasan bencana di Bercham pada Selasa.
Boon Piow berkata, anggaran kerugian keseluruhan masih dalam proses penilaian, namun Bantuan Wang Ihsan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebanyak RM1,000 serta Bantuan Kecemasan daripada kerajaan negeri sebanyak RM300 sudah diagihkan kepada mangsa.
"Setakat ini bantuan wang ihsan yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Nadma dan Pejabat Penghulu dianggarkan sekitar RM400,000.
"Jika mengambil kira kerosakan sebenar terhadap rumah dan harta benda, jumlah kerugian mungkin mencecah tiga kali ganda daripada nilai bantuan tersebut iaitu sekitar RM1.2 juta," katanya.
Boon Piow berkata, hanya sebuah rumah dilaporkan mengalami kerosakan sepenuhnya membabitkan kediaman seorang warga emas.
Katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut mendapatkan maklumat berkaitan mangsa terjejas bagi meneliti bentuk bantuan yang boleh disalurkan termasuk membaik pulih dan membina semula rumah yang mengalami kerosakan teruk.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi bantuan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Tenaga Nasional Berhad (TNB), pasukan sukarelawan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan, lebih 200 kediaman di Anjung Bercham terjejas susulan hujan lebat berterusan disertai angin kencang selama hampir dua jam.
Antara kawasan terjejas termasuk Hala Tasek Timur 1; Lorong Bercham 19; Dataran Tasek Timur selain beberapa lokasi lain seperti Lintasan Tasek Timur 1 dan 3, Hala Tasek Timur 34 serta Laluan Tasek Timur 15.
Sebahagian besar rumah mengalami kerosakan di bahagian bumbung yang tercabut, siling bocor serta beberapa struktur lain, namun tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam insiden tersebut.