KUALA TERENGGANU – Sebuah premis perniagaan keropok warisan keluarga berusia 32 tahun di Kampung Losong Haji Su di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi melibatkan kerugian dianggarkan mencecah RM500,000.
Pemiliknya, Rohaimi Mohd, 43, menyedari kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu selepas mendapati paparan skrin televisyen litar tertutup (CCTV) di kedainya tidak berfungsi.
Menurutnya, dia bergegas ke premis berkenaan dari rumahnya di Kampung Losong Masjid dan mendapati asap tebal sudah keluar dari dalam kedai tersebut.
"Saya masuk ke pejabat untuk tutup suis utama dan cuba padam kebakaran menggunakan alat pemadam api, tapi api sudah merebak dengan cepat.
"Api marak dengan cepat memusnahkan stok keropok keping dianggarkan sekitar RM100,000, keropok lekor vakum dalam RM70,000, 22 buah peti sejuk beku dan peti minuman dan barangan lain," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Thoyibbah Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.28 pagi sebelum mengerahkan seramai 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu serta BBP Jalan Kota ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan sebuah kedai jenis separuh kekal yang terbakar sebanyak 60 peratus. Sebuah motosikal jenis Yamaha NVX turut terjejas sama dan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
"Operasi pemadaman menggunakan jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan tangki air berjaya mengawal marakan api, manakala punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian rasmi masih dalam siasatan," ujarnya.