KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu memanfaatkan sepenuhnya kandungan digital dan siaran podcast bagi menyuntik kesedaran dalam kalangan generasi muda seawal usia persekolahan mengenai jenayah rasuah.
Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd. Yazid berkata, pendekatan berkesan seperti penghasilan video, infografik dan podcast itu dilihat lebih efektif untuk mendekati golongan tersebut berbanding kaedah konvensional.
Menurut beliau, usaha berkenaan digerakkan menerusi kolaborasi bersama institusi pengajian tinggi (IPT) dan Institut Pendidikan Guru (IPG).
"Pendidikan mengenai integriti perlu diterapkan kepada generasi muda seawal bangku sekolah dan diteruskan sehingga ke peringkat menara gading.
"Program seperti podcast yang dilaksanakan bersama universiti dan IPG amat membantu dalam memastikan mesej antirasuah ini sampai kepada golongan ini," katanya pada sesi dialog bersama pengamal media di Pejabat SPRM Terengganu di sini pada Isnin.
Dalam program sama, pengamal media turut dibawa melawat bilik kawalan visual dan bilik lokap bagi memberi gambaran sebenar prosedur operasi serta ketelusan agensi berkenaan.
Sementara itu, Hazrul Shazreen berkata, pengamal media di negeri ini kekal menjadi rakan strategik utama SPRM bagi memastikan setiap maklumat dan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan sampai kepada masyarakat secara sahih.
Jelas beliau, penyaluran fakta yang tepat menerusi laporan media amat kritikal bagi membendung lambakan spekulasi liar serta salah faham membabitkan kes-kes sensitif.
"Penyebaran fakta yang betul menerusi media dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap usaha pencegahan, penguatkuasaan dan pendidikan antirasuah yang kita laksanakan," ujarnya.
Selain fokus kepada pendidikan generasi muda, SPRM Terengganu turut memperketatkan pemeriksaan antirasuah bagi menangani isu ketirisan yang melibatkan pengurusan dana awam serta agensi kerajaan di negeri ini.
Katanya, SPRM Terengganu bakal memperluaskan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), badan berkanun serta agensi persekutuan lain melalui pelaksanaan program bersepadu.
"Pelbagai inisiatif penguatkuasaan dan pencegahan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan sistem tadbir urus yang lebih telus dan berintegriti dapat diwujudkan," katanya lagi.