PASIR MAS – Seorang lelaki diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dipercayai menjadikan sebuah bangsal terpencil di kawasan semak sebagai lokasi penjualan dadah antara jam 12 tengah hari hingga 10 malam setiap hari.
Suspek berusia 34 tahun itu ditahan bersama 600 biji pil yaba bernilai RM6,000 dalam serbuan Op Taring Wawasan di Kampung Longgel, Lemal, di sini pada Isnin.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dijalankan oleh anggota Risik dan Pasukan Petugas Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.
Menurut beliau, pasukan serbuan melakukan pemerhatian kira-kira sejam sebelum melihat seorang lelaki datang dari arah jalan besar menuju ke bangsal berkenaan.
“Lelaki itu dilihat membuka pintu bangsal yang diikat dengan dawai sebelum anggota bertindak menyerbu dan menahannya.
“Hasil pemeriksaan awal di beberapa lokasi yang ditunjukkan suspek tidak menemukan sebarang barang menyalahi undang-undang,” katanya kepada pemberita pada Selasa.
Ujar beliau, selepas disoal siasat lanjut, suspek mengaku menyimpan dadah di atas bangsal tersebut sebelum membawa anggota ke lokasi simpanan.
Tambahnya, hasil pemeriksaan menemukan 600 biji pil yaba serta sebuah telefon bimbit.
“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM7,000.
“Suspek mengaku terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak 14 tahun lalu dan menjadi pengedar pil yaba sejak tiga tahun lalu,” katanya.
Ahmad Radzi memberitahu, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan dadah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kegiatan penjualan pil yaba sejak tiga tahun lalu selepas dibekalkan dadah itu oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Oli’.
Ujar beliau, suspek mendakwa menerima bekalan 100 biji pil yaba setiap hari untuk dijual pada harga RM10 sebiji dan memperoleh upah RM100 sehari.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.