KUALA TERENGGANU - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki melakukan amang seksual fizikal dan merogol adik kandungnya sendiri sejak mangsa berusia 10 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, suspek berusia 24 tahun ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa pada jam 12.51 tengah hari Isnin.
Menurutnya, kejadian terbaru didakwa berlaku Ahad lalu kira-kira jam 9 malam apabila mangsa yang kini berumur 16 tahun dicabul oleh suspek ketika berada di rumah.
"Mangsa mendedahkan bahawa dia sebenarnya telah menjadi mangsa rogol suspek sejak enam tahun lalu," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Beliau berkata, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Selasa.
"Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan.
"Kes ini turut disiasat di bawah Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat," katanya.
Beliau berkata, pihak polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan sebanyak 14 kertas siasatan melibatkan kes seksual telah dibuka oleh Polis Kuala Terengganu bagi tempoh 1 Jun sehingga 22 Jun 2026.
Sehubungan itu, beliau menasihati ibu bapa agar memberi didikan awal berkaitan gangguan seksual serta memantau pergerakan harian anak-anak bagi mengelak kejadian sama berulang.