Polis wajar terima semua laporan tanpa diskriminasi - MCCC

Iklan
Daniel

SHAH ALAM – Majlis Pencegahan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) menyambut baik arahan polis supaya semua laporan daripada orang awam diterima tanpa mengira pakaian, etnik atau latar belakang individu yang tampil mendapatkan bantuan.

Pengerusi MCCC Pahang, Daniel Khoo berkata, pendekatan berkenaan mencerminkan prinsip keadilan, kesaksamaan dan profesionalisme yang wajar menjadi teras dalam penyampaian perkhidmatan pasukan keselamatan negara.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, setiap individu berhak menerima perlindungan dan bantuan sewajarnya apabila berdepan kecemasan, ancaman jenayah atau situasi yang boleh membahayakan keselamatan diri.

“Pendekatan ini amat dialu-alukan kerana soal keselamatan rakyat mesti mengatasi sebarang bentuk diskriminasi.

Iklan

“Semua individu berhak mendapatkan bantuan dan perlindungan tanpa mengira pakaian, etnik atau latar belakang mereka. Ia juga membuktikan komitmen polis untuk terus mendahulukan rakyat serta menjunjung prinsip keadilan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pasukan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Daniel berkata, layanan yang adil dan prihatin daripada pihak polis bukan sahaja mampu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi keselamatan negara, malah memperkukuh hubungan antara polis dan komuniti.

Iklan

Beliau berkata, kepercayaan masyarakat terhadap pasukan keselamatan amat penting bagi memastikan usaha pencegahan serta pembanterasan jenayah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Apabila rakyat yakin bahawa mereka akan dilayan secara adil, mereka tidak akan teragak-agak untuk tampil membuat laporan, menyalurkan maklumat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

“Kepercayaan awam merupakan aset yang amat penting dalam memperkukuh sistem keselamatan negara dan ia perlu dipelihara secara berterusan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berharap pendekatan yang berteraskan nilai kemanusiaan dan profesionalisme berkenaan dapat terus diperkasakan di seluruh negara supaya kebajikan serta keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Terdahulu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim dilaporkan mengarahkan semua Ketua Polis Daerah di negeri itu supaya memastikan setiap laporan daripada orang awam diterima tanpa mengira pakaian, etnik mahupun latar belakang individu yang hadir ke balai polis.

Beliau menegaskan bahawa setiap individu berhak menerima bantuan dan perlindungan sewajarnya apabila berdepan situasi yang mengancam keselamatan diri, selaras dengan peranan polis sebagai benteng keselamatan negara.