KUANTAN - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan gambar tular memaparkan empat warga asing diperiksa anggota pasukan keselamatan ketika Hari Terbuka TUDM di Pangkalan Udara Kuantan Ahad lalu sebahagian prosedur keselamatan standard yang dilaksanakan sepanjang program tersebut.
Dalam satu kenyataan media, TUDM memaklumkan kejadian itu berlaku pada 21 Jun lalu ketika pasukan keselamatan menjalankan rondaan di sekitar kawasan program.
Iklan
Iklan
Menurut kenyataan itu, anggota keselamatan mendapati empat individu terbabit menghampiri had kawasan yang dikhususkan untuk pengunjung awam sebelum pemeriksaan dilakukan.
"Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur yang boleh menjejaskan keselamatan atau integriti pangkalan.
TUDM turut menjelaskan bahawa pemeriksaan keselamatan secara rawak merupakan prosedur operasi standard (SOP) yang sentiasa dilaksanakan sepanjang program yang melibatkan kehadiran orang awam.
"TUDM akan terus memastikan keselamatan aset strategik, warga pangkalan dan pengunjung sentiasa terpelihara," menurut kenyataan itu lagi.
Terdahulu, tular di media sosial gambar memaparkan empat warga asing diperiksa oleh anggota keselamatan ketika berlangsungnya Hari Terbuka TUDM di Pangkalan Udara Kuantan, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.