Sistem bayaran tanpa tunai di kantin, koperasi - PPAI

Iklan
Pelaksanaan Sekolah Tanpa Tunai di PPAI dilancarkan pada Isnin.

SUNGAI PETANI – Pusat Pendidikan Al Islah (PPAI) muncul antara institusi swasta terawal di Kedah melaksanakan sistem pembayaran tanpa tunai di kantin dan koperasi sekolah sebagai langkah meningkatkan keselamatan sekali gus meningkatkan literasi digital murid.

Pengarah Projek Sekolah Tanpa Tunai merangkap Pegawai Teknologi Maklumat PPAI, Ahmad Fairuz Abidi berkata, setakat ini, kira-kira 400 atau bersamaan 53 peratus murid sudah beralih kepada pembayaran tanpa tunai sejak dimulakan 9 Jun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dengan menggunakan kad pintar, murid seawal tujuh hingga 12 tahun boleh membuat bayaran tanpa menggunakan wang tunai yang mana setiap pembelian boleh dipantau ibu bapa melalui aplikasi khas.

"Walaupun dilaksanakan secara berperingkat, namun sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila dalam tempoh tiga hari pertama sahaja pelaksanaan, sebanyak 63 pendaftaran baharu direkodkan," katanya ketika ditemui pada Pelancaran Sekolah Tanpa Tunai di PPAI di sini pada Isnin.

Iklan

Kad pintar yang membolehkan pembelian tanpa tunai dilakukan di PPAI.

Beliau berkata, keputusan beralih kepada sistem bayaran tanpa tunai dibuat selepas pihak sekolah mengambil serius kebimbangan ibu bapa yang dibangkitkan menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terutama berkaitan isu kehilangan wang, kesukaran menukar wang kecil dan risiko wang murid diambil pihak lain.

Iklan

“Perbincangan bermula pada Oktober tahun lalu, antara isu yang sering dibangkitkan waris ialah duit hilang, duit diambil rakan lain dan lain-lain,” katanya.

Jelasnya, bagi pelaksanaan sistem tanpa tunai itu, setiap murid hanya dikenakan kos minimum iaitu RM10 bagi penyediaan kad pintar.

Katanya, vendor seperti kantin dan koperasi pula hanya dikenakan caj rendah bagi membolehkan sistem berkenaan dilaksanakan.

Buat masa ini, katanya, pembayaran tunai masih dibenarkan memandangkan terdapat murid yang belum memiliki kad pintar.

Namun, berdasarkan kadar penyertaan semasa, pihak sekolah menyasarkan penggunaan sehingga 70 peratus menjelang akhir tahun ini sebelum mempertimbangkan pelaksanaan sepenuhnya secara tanpa tunai pada tahun depan termasuk sekolah menengah.

Katanya, soal selidik juga akan dijalankan sekitar September depan bagi menilai maklum balas ibu bapa dan mengenal pasti sebarang isu timbul sepanjang pelaksanaan.

Beliau turut berpandangan bahawa pendedahan awal terhadap sistem pembayaran digital penting dalam membentuk generasi yang celik teknologi.

“Celik IT sangat penting pada zaman sekarang. Jika kita tidak bimbing mereka ke arah penggunaan teknologi yang betul, mereka mungkin meneroka perkara yang tidak sepatutnya.

“Jadi kita mahu beri saluran yang betul kepada murid supaya mereka belajar menggunakan teknologi secara selamat dan berfaedah sekali gus mempersiapkan generasi akan datang ke arah berdepan cabaran teknologi masa depan,” katanya.

Bagi seorang ibu, Raniza Mat Rodi, 38, pelaksanaan sistem tanpa tunai di PPAI banyak memudahkan urusan harian terutama dalam mengurus perbelanjaan anak di sekolah.

Raniza menunjukkan aplikasi yang digunakan untuk memantau pembelian di kantin dan koperasi.

"Sebelum ini saya bagi RM5 sehari tetapi bila dah guna sistem saya boleh hadkan penggunaan limit RM10 sehari, jika belanja tak habis guna kad, baki ada kat situ dan boleh bawa ke esok, tengok kat aplikasi tu la...ibu bapa boleh pantau anak belanja berapa ringgit dan masih ada baki berapa ringgit.

"Dulu susah nak cari duit kecil bagi anak setiap pagi sekarang masukkan dalam apps saja," jelasnya.