Tumpahan merkuri: Lima pekerja kurier dikejarkan ke hospital

Iklan
Lima pekerja kurier dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut selepas berlaku tumpahan merkuri.

GEORGE TOWN – Lima pekerja dikejarkan ke hospital selepas terdedah kepada tumpahan merkuri di sebuah pusat pengasingan barangan kurier di Jalan Terengganu di sini pada Isnin.

Mangsa berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun itu merupakan dua wanita dan seorang lelaki tempatan serta dua lelaki Mynamar.

Iklan
Iklan

Kejadian kira-kira jam 1.03 petang itu dipercayai berpunca daripada satu bungkusan pos milik syarikat kurier yang pecah ketika proses pengasingan menyebabkan kira-kira 500 mililiter merkuri tertumpah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak bersama Pasukan Bahan Berbahaya (Hazmat) BBP Bayan Baru dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

Iklan

Pasukan Hazmat BBP Bayan Baru sedang menjalankan operasi pembersihan tumpahan merkuri di sebuah syarikat kurier di Jalan Terengganu.

Menurutnya, pasukan Hazmat BBP Bayan Baru melakukan penilaian awal di lokasi sebelum mengarahkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) menjalankan kerja-kerja nyahcemar.

Iklan

“Bacaan pH di kawasan sekitar turut diambil bagi memastikan persekitaran berada dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, lima mangsa yang terlibat menerima rawatan awal daripada petugas Kementerian Kesihatan sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Pasukan Hazmat BBP Bayan Baru sedang menjalankan operasi pembersihan tumpahan merkuri di sebuah syarikat kurier di Jalan Terengganu.

"Kesemua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan selamat. Operasi turut melibatkan anggota polis.

"Operasi yang melibatkan 17 anggota bomba dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan Hazmat dan sebuah kenderaan Triton berjaya dikawal pada jam 2.33 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.06 petang," katanya.