Bantuan e-wallet kurangkan ketirisan Baucar Kita Selangor - Amirudin

Iklan
Amirudin (empat dari kiri) memegang plakad Baucer Kita Selangor pada sidang media, Isnin.

SHAH ALAM – Kerajaan negeri percaya penyaluran bantuan secara terus ke akaun dompet digital (e-wallet) penerima yang telah melalui proses pengesahan mampu mengurangkan risiko ketirisan dalam pelaksanaan Baucar Kita Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kaedah digital yang digunakan itu membolehkan bantuan disalurkan terus kepada penerima yang layak tanpa melibatkan penyerahan tunai secara manual yang lebih terdedah kepada kesilapan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, proses pengesahan maklumat penerima serta penggunaan pangkalan data yang telah diverifikasi turut membantu memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar.

"Ketirisan berlaku biasanya apabila dilakukan secara manual, walaupun kadang-kadang ia bukan ketirisan, sebaliknya kesilapan," katanya pada sidang media sempena Pelancaran Baucar Kita Selangor yang diumumkan di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor di sini pada Isnin.

Iklan

Amirudin berkata, sistem yang digunakan bukan sahaja membolehkan transaksi direkodkan secara digital, malah setiap penggunaan bantuan dapat dipantau bagi memastikan ia dimanfaatkan oleh penerima yang benar-benar memerlukan.

Katanya, pengalaman kerajaan negeri mengendalikan program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) sebelum ini menunjukkan mekanisme itu berupaya meningkatkan ketelusan dalam penyaluran bantuan.

Iklan

"Malah kita boleh tahu pengguna menggunakan bantuan tersebut atau sebaliknya, jika tidak digunakan untuk beberapa kali, penyertaan mereka boleh dibatalkan kerana kita anggap mereka tidak memerlukan bantuan itu," jelas beliau.

Beliau berkata, pemilihan penerima Baucar Kita Selangor dibuat berdasarkan pangkalan data sedia ada termasuk pemohon Bingkas yang belum menerima bantuan sebelum ini serta maklumat daripada beberapa agensi kerajaan.

Menurutnya, kerajaan negeri turut merujuk data daripada sistem eKasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bagi memastikan penerima telah melalui proses pengesahan sewajarnya.

"Rujukan kita terhadap pangkalan data sudah pasti daripada penyertaan dalam program Bingkas. Selain itu terdapat juga data daripada eKasih, JKM dan sebagainya yang telah diverifikasi,” katanya.

Mengulas mengenai aspek pemantauan, Amirudin memberi jaminan pelaksanaan audit bagi memastikan bantuan berjalan dengan telus dan berkesan.

Katanya, penggunaan aplikasi digital seperti Selangkah membolehkan rekod bantuan diperoleh secara masa nyata tanpa perlu bergantung kepada kaedah semakan manual seperti sebelum ini.

"Penggunaannya boleh dipantau dan data itu boleh disemak pada bila-bila masa," ujar beliau.

Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri secara rasmi membuka pendaftaran bagi inisiatif Baucar Kita Selangor kepada 50,000 keluarga yang layak bermula jam 12 tengah hari Selasa.

Beliau berkata, proses permohonan akan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian melalui portal rasmi www.baucarkitaselangor.com bagi memudahkan urusan penerima.

Baucer Kita Selangor akan menyalurkan RM100 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada 50,000 keluarga di negeri ini.