BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi antara institusi pengajian tinggi (IPT) terawal di negara ini yang menerima manfaat fasa kedua Program Santun Pelajar McDonald’s Malaysia, menerusi satu majlis penyerahan simbolik yang berlangsung baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut, lebih 13,000 baucar Nasi Mekdi telah diperuntukkan khas buat pelajar UTHM yang memerlukan bagi meringankan beban kos sara hidup dan memastikan kebajikan makanan mereka terjaga sepanjang pengajian.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald's Malaysia, Melati Abdul Hai menjelaskan bahawa pemilihan UTHM sebagai perintis fasa kedua ini adalah sebahagian daripada peluasan komitmen jangka panjang syarikat, bukan sekadar inisiatif bermusim.
”Langkah proaktif di UTHM ini menjadi penanda aras penting dalam usaha kami untuk memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada kejayaan akademik mahasiswa. Kerjasama erat dengan Jabatan Hal Ehwal Pelajar UTHM amat kritikal bagi memastikan proses saringan berjalan lancar dan bantuan benar-benar sampai kepada mahasiswa yang disasarkan,” katanya.
Secara keseluruhan, program yang bermula sejak Ramadan lalu ini kini diperluaskan ke 75 IPT seluruh negara bermula April hingga Disember ini, dengan sasaran agihan sehingga satu juta baucar hidangan. Pada fasa pertama, sebanyak 50,000 baucar hidangan Nasi Mekdi diagihkan kepada pelajar di 20 IPT seluruh negara.
Kebajikan mahasiswa tanggungjawab bersama
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Ir Ts Dr Abdul Rahman Bahasa menyifatkan sumbangan berkenaan sebagai bukti keprihatinan sektor korporat terhadap kebajikan mahasiswa.
Katanya, bantuan makanan seperti itu memberi impak langsung dalam meringankan beban kos sara hidup pelajar, khususnya golongan B40 yang membentuk sebahagian besar komuniti mahasiswa universiti berkenaan.
“Program ini bukan sekadar membantu dari segi keperluan asas makanan, tetapi turut memberi sokongan moral dan emosi kepada pelajar supaya mereka dapat memberi tumpuan penuh terhadap akademik tanpa terlalu memikirkan soal kewangan harian,” katanya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Muhammad Qamarul Afiq Azman, 28, berkata program itu membuktikan bukan sahaja pihak universiti mengambil berat kebajikan pelajar, malah turut mendapat sokongan pihak luar dalam membantu mahasiswa.
Menurutnya, bantuan makanan yang diberikan mampu mengurangkan beban kewangan pelajar, terutama mereka yang terpaksa berjimat bagi menampung kos pengajian dan kehidupan seharian.
“Berdasarkan data yang ada, kira-kira 60 peratus pelajar UTHM terdiri daripada golongan B40.
Inisiatif ini sangat membantu kerana pelajar tidak perlu terlalu membebankan diri atau mengikat perut untuk berjimat,” katanya.
Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UTHM, Ruthreswary Murugeswaran, 22, berkata program berkenaan banyak membantu mengurangkan perbelanjaan makanan dan berharap lebih banyak inisiatif seumpamanya dapat diperkenalkan pada masa akan datang.
“Saya sangat bersyukur kerana walaupun bantuan ini kecil, ia memberi manfaat yang besar kepada pelajar. Ia membantu mengurangkan belanja makanan dan saya berharap McDonald's dapat memperluaskan lagi program seperti ini,” katanya.
Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina UTHM, Muhamad Fatih Khamsani, 22, bantuan makanan itu amat bermakna memandangkan kos makanan semakin meningkat.
“Pemberian baucar makanan dapat mengurangkan perbelanjaan wang saku untuk satu hari. Bantuan baucar ini sedikit sebanyak meringankan beban pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah," ujarnya.