ALOR SETAR – Sebuah kereta Perodua Alza dan tiga motosikal yang digunakan oleh warga Rohingya disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah dalam Ops Pemandu Warganegara Asing (PEWA) yang dijalankan di Pasar Borong Jalan Gangsa di sini pada Jumaat lalu.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, operasi yang dilaksanakan oleh Unit Penguatkuasa Bermotosikal (Falcon) itu dijalankan antara jam 11 malam hingga 3 pagi.
Menurutnya, anggota penguat kuasa mengesan beberapa pemandu warga asing berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun yang berada di lokasi berkenaan bagi membeli keperluan harian sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan.
"Selain itu, kenderaan yang digunakan juga didapati mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang telah tamat tempoh serta tidak dilindungi insurans yang sah," katanya.
Beliau berkata, susulan pelbagai pelanggaran undang-undang jalan raya yang dikesan, kesemua kenderaan terbabit telah disita dan dibawa ke Depoh Sita JPJ Kedah untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kenderaan yang disita melibatkan sebuah Perodua Alza, dua motosikal Honda Wave dan sebuah motosikal Modenas Kriss.
“JPJ Kedah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan jalan raya dan tindakan tegas akan terus diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” ujarnya.