KOTA BHARU - Padah merompak enam wanita warga emas, tiga sahabat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas enam pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan di empat daerah dengan menyasarkan barangan kemas dan menyebabkan kecederaan.
Tertuduh Mohd Suhairey Omar, 42, Ridhuan Mohamed, 44, dan Mohd Khairul Azwan Abdullah @ Ahmad, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua enam pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan, Mohd Suhairey dan Ridhuan didakwa bersama-sama melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan terhadap Aazizah Ujud, 77, di hadapan sebuah rumah di Cabang 3 Syed Kuning, Kadok dekat Ketereh pada 12 Mei 2026.
Ridhuan dan Mohd Khairul Azwan turut berdepan dua lagi pertuduhan melibatkan mangsa, Halimah Senik, 62, selain kes kecurian gelang emas milik Siti Meriam Daud, 77, masing-masing di Kuala Krai (18 Jun 2025) serta Bachok (8 Januari 2025).
Ketiga-tiga tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan rompakan berkumpulan membabitkan Halimah Yusof, 84, Aminah Yusoff, 73, dan Latifah @ Azizah Yusof, 79, yang berlaku di Bachok dan Machang antara 2024 hingga 2026.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 394 dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Kamarul Hasyime Rosli, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan sebelum mahkamah memutuskan ketiga-tiga tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan menetapkan 27 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, seorang wanita, Nik Faizah Nik Musa, 33, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melupuskan harta curi membabitkan manik emas milik Aazizah, dipercayai berkait kes samun tersebut.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 dengan seorang penjamin, namun wanita berkenaan gagal membayar jaminan.