Malaysia terus melonjak dalam daya saing dunia di bawah kepimpinan Anwar - Penganalisis

Iklan
Misrinah (gambar kiri) berkata, Amat wajar sekiranya rakyat Malaysia terus mempertimbangkan untuk menyokong usaha meneruskan kepimpinan Anwar bagi penggal kedua.

KUALA LUMPUR – Kedudukan Malaysia yang semakin meningkat dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026 membuktikan keberkesanan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkukuh ekonomi dan daya saing negara di peringkat antarabangsa.

Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Misrinah Misban berkata, Malaysia mencatat peningkatan memberangsangkan apabila melonjak ke tangga ke-23 daripada 69 ekonomi dunia dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 11 anak tangga berbanding kedudukan ke-34 daripada 67 ekonomi pada tahun 2024.

Beliau berkata, prestasi tersebut mencerminkan keberkesanan pelaksanaan dasar dan tadbir urus kerajaan yang mampan di bawah pimpinan Anwar meskipun belum menamatkan satu penggal pentadbiran.

Iklan

“Amat wajar sekiranya rakyat Malaysia terus mempertimbangkan untuk menyokong usaha meneruskan kepimpinan Anwar bagi penggal kedua.

“Di peringkat domestik, rakyat tidak terlalu terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik antarabangsa, manakala di peringkat dunia pula, nama Malaysia semakin dihormati dan mendapat perhatian selepas berdepan pelbagai cabaran termasuk skandal 1MDB sebelum ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Misrinah berkata, berdasarkan pencapaian ekonomi semasa, beliau melihat terdapat kesungguhan kerajaan dalam melaksanakan reformasi birokrasi menerusi pelbagai inisiatif termasuk projek di bawah Jawatankuasa Daya Saing Negara.

Menurutnya, kejayaan tersebut bukan diperoleh secara kebetulan, sebaliknya hasil keberanian politik untuk memperbaiki kelemahan lampau serta mengembalikan keyakinan pelabur global terhadap negara.

“Kestabilan institusi dan kesejahteraan rakyat menjadi paksi utama pentadbiran Anwar tanpa perlu terjerumus dalam retorik politik yang melampau.

“Kepimpinan yang baik dinilai berdasarkan hasil dan pencapaiannya, bukan sekadar janji yang tidak ditunaikan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pelbagai dasar intervensi kerajaan termasuk usaha mengekalkan kestabilan makroekonomi, mempelbagaikan pasaran perdagangan dan melaksanakan subsidi bersasar telah berjaya memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

Katanya, pemulihan sektor pelancongan serta peningkatan pelaburan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor turut menjadi antara pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negara.

“Hasilnya, Malaysia bukan sahaja mampu mendepani cabaran ekonomi global, malah terus mencatat lebihan dagangan yang sihat dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi,” katanya.