SETIU - [KEMAS KINI] Perbuatan terkutuk seorang bapa yang tergamak menjadikan anak kandungnya sebagai tempat memuaskan nafsu sejak mangsa berusia enam tahun akhirnya terbongkar selepas lelaki itu ditahan polis pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu kira-kira jam 6 petang.
Menurutnya, suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa pada 15 Jun lalu.
"Pihak polis menerima laporan daripada seorang remaja perempuan berusia 15 tahun jam lebih kurang 3.54 petang.
"Mangsa mendakwa dalam kejadian terbaharu pada 29 Mei lalu sekitar jam 12 tengah hari, dia bersama adik perempuannya sedang berada di rumah sebelum dipanggil bapanya masuk ke dalam bilik tidur," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Zahril Asri berkata, suspek kemudiannya bertindak melakukan perbuatan seksual terhadap mangsa dalam bilik berkenaan.
Malah, suspek turut memberikan amaran dan berpesan kepada mangsa supaya tidak menceritakan perkara tersebut kepada sesiapa.
"Siasatan awal mendapati perbuatan terkutuk itu dipercayai dilakukan suspek sejak mangsa berusia enam tahun lagi. Akibat kejadian itu, mangsa kini mengalami kemurungan dan trauma," katanya.
Beliau berkata, permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) telah dikemukakan di hadapan Majistret Setiu semalam (21 Jun).
"Mahkamah membenarkan suspek direman selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 Jun ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan," ujar beliau.