GUJARAT - Tindakan nekad seorang ahli perniagaan yang berpura-pura diculik semata-mata mahu mendapatkan wang tebusan daripada keluarga akhirnya memakan diri apabila helah liciknya terbongkar hasil siasatan pihak polis.
Memetik laporan NDTV, Jigneshbhai, 36, menghantar mesej ugutan meminta wang tebusan sebanyak lima juta Rupee (kira-kira RM219,249) selain merakam sendiri video kononnya dia dikurung dengan kedua-dua tangannya diikat pada jeriji besi menggunakan kain.
Kejadian bermula pada 12 Jun selepas isteri igneshbhai membuat laporan kehilangan di balai polis di daerah Surat, India kerana suaminya gagal dikesan.
Tidak lama kemudian, ahli keluarga mula menerima beberapa mesej daripada telefon bimbit mangsa yang mendakwa dia telah diculik.
Mesej itu juga menuntut wang tebusan sebagai syarat pembebasannya.
Malah, 'pengirim' turut mengugut akan membunuh Jigneshbhai sekiranya keluarga memaklumkan perkara itu kepada polis.
Ketika siasatan dijalankan, keluarga sekali lagi menerima sebuah video memaparkan lelaki itu dalam keadaan seolah-olah menjadi tebusan.
Polis kemudian menjalankan siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pemantauan teknikal serta maklumat risikan sebelum pada awalnya mengesyaki mangsa berada di daerah Ujjain, Madhya Pradesh.
Bagaimanapun, hasil penelitian terhadap video dan maklumat daripada ‘informer’ mendapati rakaman tersebut sebenarnya dibuat di Godhra.
Sepasukan polis kemudian melakukan pemeriksaan di beberapa hotel di kawasan itu sebelum menemukan lelaki berkenaan yang dalam keadaan selamat di sebuah premis.
Ketika disoal siasat, lelaki itu mengaku dia tidak pernah diculik dan mengatur sendiri keseluruhan rancangan setelah mengalami kerugian akibat pelaburan pasaran saham dan dibebani hutang tinggi.
Disebabkan terdesak ingin membayar hutang, dia merancang penculikan palsu dengan mesej ugutan bagi memperdayakan ahli keluarga dan saudara-mara supaya menyerahkan wang tebusan.
Sepanjang siasatan, polis turut meminta lelaki itu melakonkan semula bagaimana dia merakam video dirinya sendiri dengan tangan diikat pada jeriji besi bagi mengesahkan modus operandi.
Siasatan mendapati tiada individu lain terlibat dalam kejadian berkenaan dan keseluruhan rancangan dirancang serta dilaksanakan oleh suspek seorang diri. - Agensi