IPOH – Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ipoh Barat menafikan dakwaan seramai 200 ahlinya keluar parti untuk menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Ketua Cabang PKR Ipoh Barat, Tines Arumugam berkata, berdasarkan penelitian yang dibuat jumlah sebenar yang terlibat jauh lebih kecil dan tidak memberi kesan kepada kekuatan cabang berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan gambar yang dikongsikan semasa pengumuman berkenaan, hanya kira-kira 20 individu kelihatan bersama mereka dan bukannya 200 orang seperti yang didakwa.
"Angka 200 itu tidak munasabah dan tidak memberi impak kepada Cabang Ipoh Barat yang mempunyai lebih 4,300 ahli.
"Malah jika benar 200 orang keluar sekali pun, jumlah itu tidak sampai 5 peratus daripada keseluruhan keahlian cabang,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Tines turut menyifatkan tindakan mereka meninggalkan parti sebagai tidak menjejaskan PKR Cabang Ipoh Barat malah percaya cabang itu kini lebih kukuh dengan kehadiran ahli yang kekal setia kepada perjuangan parti.
Menurutnya, mereka yang keluar sebelum ini juga didakwa pernah terlibat dalam tindakan yang menjejaskan kepimpinan cabang dan parti.
“Bagi kami, yang tinggal hari ini adalah mereka yang benar-benar setia kepada perjuangan parti dan itu akan mengukuhkan lagi PKR Ipoh Barat.
"Kami tak perlukan pengkhianat di dalam parti. Jadi eloklah mereka pergi supaya kami terus kuat,” katanya.
Menurut Tines, perjalanan dan gerak kerja cabang akan diteruskan seperti biasa tanpa sebarang gangguan susulan tindakan segelintir ahli meninggalkan parti.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Cabang PKR Ipoh Barat terus menerima sokongan apabila kira-kira 100 ahli baharu, majoritinya golongan muda, menyertai parti itu sejak awal tahun ini.
Menurutnya, pertambahan keahlian tersebut membuktikan keyakinan terhadap perjuangan parti masih kukuh di kawasan berkenaan.
Mengulas dakwaan berkaitan ketelusan pemilihan parti yang dibangkitkan bekas pemimpin cabang itu, Tines berkata, tuduhan tersebut tidak berasas memandangkan individu berkenaan masih menerima pelantikan dalam kepimpinan negeri selepas pemilihan selesai.
“Kalau beliau merasakan pemilihan tidak telus, sepatutnya beliau mengambil tindakan ketika itu. Namun selepas pemilihan, beliau masih menyertai Majlis Pimpinan Negeri sebagai Pengerusi Biro Kebajikan.
“Jadi dakwaan itu hanya alasan untuk menyertai parti baharu dan membawa beberapa rakan yang sehaluan dengannya,” katanya.
Pada 20 Jun lalu, media melaporkan kira-kira 200 ahli PKR Cabang Ipoh Barat mengumumkan keluar parti dan menyertai Bersama.
Perkara itu dimaklumkan bekas Biro Kebajikan PKR Perak, Y Selva Kumar yang turut melepaskan jawatannya dan menyertai parti tersebut pada 17 Mei lalu.
Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang Ipoh Barat, Kumar Rao berkata, keputusan itu dibuat berikutan kegagalan kepimpinan tertinggi PKR untuk menunaikan janji dan manifesto yang telah diperjuangkan.