Penggantungan PN: Jangan biar RoS dipersepsikan sebagai alat tekanan politik

Iklan
Jangan biar RoS dipersepsikan sebagai alat tekanan politik - Gambar hiasan

SHAH ALAM – Kerajaan Madani digesa memastikan tiada sebarang campur tangan politik terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) atau mana-mana institusi kerajaan dalam urusan penggantungan semua kegiatan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Sekretariat Gerakan Suara Rakyat Malaysia Sejahtera, Mohd Zai Mustafa berkata, jika tindakan RoS itu benar-benar berasaskan undang-undang dan peraturan pertubuhan, proses berkenaan perlu dilaksanakan secara telus, konsisten dan bebas daripada sebarang pengaruh politik.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, institusi negara ialah milik rakyat dan tidak seharusnya dilihat sebagai alat kepada mana-mana kerajaan atau parti politik.

“RoS telah menjelaskan bahawa tindakan tersebut bukan pembatalan pendaftaran PN, sebaliknya penggantungan sementara susulan notis yang memerlukan gabungan itu memberikan penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Iklan

“Walau apa pun alasan pentadbiran dan perundangan yang diberikan, tindakan terhadap salah satu gabungan politik utama negara sudah tentu menimbulkan persoalan serta pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat.

“Demokrasi yang matang tidak seharusnya takut kepada persaingan politik. Lawanlah hujah dengan hujah, dasar dengan dasar dan serahkan mandat kepada rakyat melalui peti undi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini, RoS menegaskan bahawa pendaftaran PN tidak dibatalkan, sebaliknya gabungan tersebut dikenakan perintah penggantungan semua kegiatan berkuat kuasa Rabu.

RoS turut memaklumkan bahawa notis di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] bertarikh 22 September 2026 telah dikeluarkan kepada PN dan tempoh munasabah diberikan untuk menjawab notis berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Zai berpandangan perkembangan itu perlu dijadikan peringatan kepada parti-parti politik berteraskan Melayu dan Islam bahawa perpecahan yang berpanjangan tidak membawa manfaat kepada masyarakat mahupun kestabilan negara.

Justeru, beliau menggesa pemimpin parti Melayu-Islam sama ada dalam atau di luar PN, termasuk tokoh-tokoh UMNO, supaya membuka ruang dialog ke arah kerjasama politik yang lebih tersusun.

Menurutnya, perbezaan pandangan boleh dibincangkan secara matang manakala kepentingan rakyat dan negara perlu diutamakan mengatasi kepentingan politik sempit.

“Kami berpandangan Datuk Seri Hamzah Zainudin selaku Ketua Pembangkang boleh memainkan peranan yang lebih aktif dalam usaha membuka ruang perbincangan antara parti-parti pembangkang dan kelompok politik Melayu-Islam.

“Namun, penyatuan sebenar tidak boleh dibina atas kepentingan individu tertentu semata-mata. Ia perlu berasaskan prinsip, persefahaman, kestabilan politik serta agenda yang jelas demi kepentingan rakyat,” katanya.