Sistem amaran awal SISDA

Iklan
Abdul Rashid ketika ditemui pada Program Road To Maha Zon Tengah 2026. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

KLANG - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara menerusi pembangunan Portal Pengawasan serta Intervensi Bekalan dan Pemasaran Agromakanan (SISDA) yang berupaya mengawasi bekalan makanan negara sekali gus membolehkan sumber-sumber kerajaan dapat dioptimumkan bagi sesuatu tindakan intervensi.

Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, SISDA dibangunkan sebagai platform bersepadu yang bukan sahaja memantau bekalan dan keadaan pasaran, malah berfungsi sebagai sistem amaran awal bagi membantu kerajaan membuat keputusan lebih cepat, tepat dan berasaskan data.

Iklan
Iklan

Abdul Rashid berkongsi tentang sistem pintar, SISDA dibangunkan FAMA. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Menurut beliau, pembangunan portal ini selaras keperluan semasa apabila negara berdepan dengan cabaran turun naik harga, ketidaktentuan bekalan, peningkatan kos sara hidup, kebergantungan kepada import serta perubahan cuaca dan geopolitik global.

Iklan

"Melalui SISDA, kita fokus kepada pemantauan bekalan dan pemasaran supaya kita boleh membantu menstabilkan keadaan pasaran sama ada dari segi bekalan ataupun harga.

"Kita juga mahu melihat bagaimana intervensi awal boleh dilaksanakan apabila terdapat tanda-tanda perubahan luar biasa dalam pasaran sebelum sesuatu krisis berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Sebelum ini, pelancaran SISDA disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika Program Road To Maha Zon Tengah 2026 di Kompleks Sukan Pandamaran pada Sabtu.

Persediaan

Abdul Rashid berkata, portal itu dibangunkan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk universiti dan pakar teknologi menerusi penggunaan model analitik data melibatkan 42 komoditi utama dan 34 pemboleh ubah bagi menghasilkan ramalan lebih tepat.

SISDA memberi tumpuan kepada 42 komoditi.

Menurutnya, kemampuan SISDA meramal situasi bekalan makanan sehingga tiga atau empat bulan lebih awal memberi kelebihan besar kepada kerajaan dalam merancang langkah mitigasi.

“Jika kita dapat mengesan lebih awal kemungkinan berlaku gangguan bekalan akibat cuaca ekstrem, perubahan harga minyak atau faktor geopolitik, kerajaan boleh buat persediaan lebih awal termasuk mengatur bekalan import dari negara lain," ujarnya.

Katanya, antara kekuatan utama SISDA ialah keupayaannya sebagai sistem amaran awal yang mampu mengesan petunjuk menunjukkan kemungkinan berlakunya kekurangan atau lebihan bekalan sesuatu komoditi melalui penggunaan analitik data raya, pembelajaran mesin dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

"Sebagai contoh, Malaysia masih bergantung kepada import bawang dari India dan sebarang gangguan di negara tersebut boleh memberi kesan besar kepada bekalan tempatan.

“Kalau kita tahu lebih awal akan berlaku sekatan eksport atau krisis di negara pembekal, kita boleh merancang intervensi seperti mengatur bekalan alternatif dari Pakistan, Thailand atau negara lain bagi mengelakkan kekurangan bekalan dalam negara," kongsinya.

Beliau menjelaskan, sistem itu membantu memastikan kestabilan bekalan makanan negara dengan mengubah pendekatan pengurusan daripada bersifat reaktif kepada lebih proaktif, berasaskan data dan berpandangan jauh.

Mohamad (tengah) menyempurnakan pelancaran SISDA ketika Program Road To Maha Zon Tengah 2026 di Kompleks Sukan Pandamaran pada Sabtu. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Tambah beliau, SISDA turut menghubungkan petani dengan pemasar, pemborong dan pemain industri makanan sekali gus mewujudkan ekosistem rantaian bekalan yang lebih cekap.

“Petani boleh mengetahui komoditi yang sesuai ditanam berdasarkan trend permintaan dan harga pasaran. Ini membantu mengurangkan risiko lambakan hasil dan meningkatkan pendapatan pengeluar,” ujarnya.

Abdul Rashid berkata, pada peringkat awal, SISDA memberi tumpuan kepada 42 komoditi strategik yang melibatkan lebih 100 varieti merangkumi buah-buahan, sayur-sayuran, ikan rakyat dan ternakan.

Katanya, skop portal itu akan terus diperluaskan termasuk melibatkan komoditi strategik lain seperti beras pada masa akan datang.

Beliau berkata, penggunaan AI juga akan terus diperkasakan dalam pembangunan SISDA sehingga tahun 2030.

Mengulas hala tuju jangka panjang, beliau berkata, SISDA disasarkan menjadi platform utama rujukan data agromakanan negara menjelang 2030.

“Harapan saya, SISDA akan menjadi platform utama negara dalam membantu kerajaan, petani dan pemain industri membuat keputusan berasaskan data serta memperkukuhkan keterjaminan makanan negara pada masa hadapan,” katanya.