APM latih 18 sukarelawan Orang Asli Pos Lenjang jadi benteng awal bencana

Iklan
Seramai 18 sukarelawan Orang Asli dari Pos Lenjang berjaya ditauliahkan selepas menamatkan latihan asas pertahanan awam.

KUALA LIPIS – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berhasrat mewujudkan pangkalan hadapan (forward base) di Pos Lenjang bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan komuniti Orang Asli menghadapi sebarang situasi bencana.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) APM, Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, inisiatif itu susulan kejayaan projek rintis pertama melibatkan komuniti Orang Asli yang dilaksanakan hasil kerjasama bersama CDA Briged Kazuko.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai langkah permulaan, seramai 18 sukarelawan Orang Asli dari Pos Lenjang berjaya ditauliahkan selepas menamatkan latihan asas pertahanan awam.

Beliau berkata, penubuhan pangkalan hadapan di kawasan tersebut amat penting memandangkan kedudukan geografi penempatan itu yang terletak jauh di pedalaman dan mengambil masa untuk diakses pasukan penyelamat dari luar.

Iklan

Ismail

“Dengan latihan yang diberikan ini, kita berharap sekiranya berlaku bencana berskala kecil, penduduk Orang Asli yang telah dilatih dapat mengambil tindakan awal dan memberikan bantuan sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

Iklan

“Malah, saya dimaklumkan penduduk di sini turut menyatakan kesediaan menyediakan kawasan tanah bagi tujuan pembinaan pangkalan hadapan tersebut,” katanya selepas sesi latihan dan pentauliahan sukarelawan Orang Asli di Pos Lenjang pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, APM merancang memperluaskan program berkenaan ke penempatan Orang Asli lain di seluruh negara berdasarkan kesesuaian dan penilaian semasa.

Menurutnya, masyarakat Orang Asli sememangnya mempunyai pengetahuan dan kemahiran ikhtiar hidup yang baik, namun program tersebut mampu menambah nilai keupayaan sedia ada mereka melalui latihan yang lebih sistematik.

“Mereka didedahkan dengan kemahiran pertahanan awam seperti teknik menyelamat di air, bantuan kecemasan serta penggunaan peralatan yang bersesuaian.

“Ini sekali gus memperkukuhkan keupayaan komuniti setempat untuk bertindak sebagai benteng awal ketika berdepan kecemasan atau bencana,” katanya.

Selain latihan, program berkenaan turut dimanfaatkan untuk mendekati masyarakat setempat menerusi pelbagai aktiviti khidmat komuniti.

Ismail berkata, APM bersama rakan strategik turut menyalurkan bantuan kebajikan kepada penduduk di Pos Lenjang dan Pos Titom, selain mengadakan pemeriksaan kesihatan ringkas secara percuma.

Dalam pada itu, beliau menyeru lebih ramai golongan muda menyertai APM bagi melengkapkan diri dengan ilmu penyelamatan dan kesiapsiagaan bencana.

“Penyertaan golongan muda amat penting kerana mereka boleh menjadi benteng awal dalam melindungi nyawa serta harta benda komuniti masing-masing ketika berlakunya kecemasan,” katanya.

Antara ukarelawan Orang Asli dari Pos Lenjang yang berjaya ditauliahkan selepas menamatkan latihan asas pertahanan awam.

Sementara itu, Komandan CDA Briged Kazuko, Datin Seri Intan Abdul Hamid menyifatkan projek perintis berkenaan sebagai satu pembaharuan bermakna walaupun ia merupakan siri program keempat yang dilaksanakan oleh briged tersebut.

Menurutnya, program itu mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kali masyarakat Orang Asli berjaya ditauliahkan sebagai sukarelawan anggota penyelamat.

“Program hari ini sangat berjaya kerana mendapat sokongan padu daripada kepimpinan APM, termasuk bahagian operasi dan latihan, selain kerjasama APM Negeri Pahang dan Kelantan.

“Kami berharap program komuniti berimpak tinggi seperti ini dapat dijadikan acara tahunan APM supaya manfaat projek rintis ini dapat diperluaskan ke lebih banyak komuniti,” katanya.