PRN: PN hadapi ujian terbesar

Iklan
PN masih berdepan cabaran menyusun semula struktur dalaman dan memperkukuhkan hubungan antara parti komponennya. Gambar hiasan

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang bakal berlangsung tidak lama lagi dilihat bukan sekadar medan persaingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya menjadi ujian terhadap kekuatan dan kesepaduan Perikatan Nasional (PN) susulan rombakan struktur pentadbiran gabungan itu yang berkuat kuasa serta-merta.

Perubahan itu mencetuskan persoalan mengenai hala tuju hubungan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang dilihat semakin berdepan cabaran dalaman menjelang pilihan raya berkenaan.

Iklan
Iklan

Tumpuan terarah kepada rombakan diumumkan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar apabila Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, tidak lagi memegang jawatan utama dalam pentadbiran pusat gabungan itu.

Azmin ditamatkan perkhidmatan sebagai Timbalan Setiausaha Agung PN manakala Mohd Radzi digugurkan daripada jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN.

Iklan

Jawatan itu kini disandang Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sementara Bendahari PN diambil alih Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Subramaniam Surunaryan.

Menurut Ahmad Samsuri, langkah itu bagi persiapan menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Iklan

Perkembangan itu hadir ketika hubungan Pas dan Bersatu terus menjadi perhatian susulan beberapa perbezaan pandangan yang dilaporkan timbul dalam gabungan berkenaan.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menegaskan partinya akan terus kekal dalam PN serta menggunakan lambang gabungan itu pada pilihan raya akan datang.

Perkembangan tersebut berlaku ketika hari penamaan calon PRN Johor 27 Jun ini semakin hampir, diikuti hari pengundian 11 Julai, manakala Negeri Sembilan pula akan mengadakan pilihan raya pada 1 Ogos depan.

Ketika parti-parti lain dilihat semakin memuktamadkan agihan kerusi serta menggerakkan jentera pilihan raya, PN masih berdepan cabaran menyusun semula struktur dalaman dan memperkukuhkan hubungan antara parti komponennya.

Penganalisis melihat rombakan itu usaha menyusun semula keseimbangan kuasa dalam PN susulan perubahan landskap politik gabungan tersebut.

Walaupun secara rasmi ia dijelaskan sebagai langkah pentadbiran, perkembangan itu turut memberi gambaran berlakunya perubahan pengaruh antara parti-parti komponen.

Dalam konteks PRN Johor dan Negeri Sembilan, perubahan itu berpotensi mempengaruhi persepsi pengundi terhadap tahap kestabilan PN.

Pengundi bukan sahaja menilai kekuatan calon diketengahkan, malah mengambil kira tahap keutuhan sesebuah gabungan politik.

Sebarang pertembungan antara Pas dan Bersatu di kerusi tertentu berpotensi membuka ruang kepada pertandingan tiga penjuru yang boleh memecahkan undi penyokong PN.

Keadaan itu secara tidak langsung memberi kelebihan kepada blok lawan termasuk Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti lain.

Justeru, PRN Johor dan Negeri Sembilan menjadi penanda aras penting untuk mengukur kekuatan sebenar PN.

Keupayaan gabungan itu mengurus perbezaan dalaman, menyelaras strategi kempen dan mengekalkan kesepaduan antara parti komponen akan menjadi faktor utama yang menentukan prestasi mereka dalam pilihan raya kali ini.

*Norawazni Yusof ialah wartawan Sinar Harian Pahang