California isytihar darurat susulan kebakaran gudang di Los Angeles

Iklan
Seorang penduduk memakai pelitup muka ketika kebakaran besar di sebuah gudang kemudahan storan sejuk terus marak dan menyebarkan asap di sekitar bandar di Los Angeles, California. Foto AFP

ANKARA - Gabenor California, Gavin Newsom mengisytiharkan keadaan darurat susulan kebakaran yang telah berlarutan selama beberapa hari di sebuah kemudahan penyimpanan makanan sejuk beku di kawasan kejiranan Boyle Heights, Los Angeles, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan pada Sabtu.

Pengisytiharan itu dibuat ketika anggota bomba terus berusaha mengawal kebakaran yang bermula pada Rabu dan telah menjejaskan kualiti udara di beberapa bahagian kawasan berkenaan, menurut NBC News.

Iklan
Iklan

"California sedang menggerakkan bantuan untuk menyokong Los Angeles ketika anggota bomba dan petugas kecemasan meneruskan usaha mengawal kebakaran ini serta melindungi komuniti di kawasan sekitar," kata Newsom.

Pasukan bomba telah mengerahkan helikopter yang mampu menggugurkan sehingga 3,000 gelen air pada satu-satu masa dan menggunakan bahan perencat api berasaskan gel bagi mempercepat usaha mengawal kebakaran. Foto AFP

Iklan

Pegawai negeri berkata, mereka sedang menyediakan 5.5 juta pelitup muka N95, pembersih udara, air botol dan bekalan kecemasan lain, selain memperluas pemantauan kualiti udara.

Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass sebelum ini mengisytiharkan darurat tempatan dengan menyatakan pihak berkuasa bimbang terhadap kemungkinan kesan kesihatan ke atas komuniti berhampiran.

Iklan

"Kami jelas memerlukan sumber daripada kerajaan negeri bagi membolehkan kami mengambil langkah yang diperlukan untuk memastikan kawasan ini selamat," kata Bass.

Pegawai berkata, lebih 39 juta kilogram makanan sejuk beku yang disimpan di kemudahan itu berkemungkinan mula mereput, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya keadaan bahaya biologi.

Gabenor California mengisytiharkan darurat bagi daerah Los Angeles susulan kebakaran gudang Lineage Logistics yang bermula pada 17 Jun di kawasan Boyle Heights. Foto AFP

Ketua Jabatan Bomba Los Angeles, Jaime Moore berkata, bahan penyejuk berbahaya, termasuk ammonia, telah pun dikeluarkan dari lokasi kejadian.

Menurut laporan itu, pasukan bomba telah mengerahkan helikopter yang mampu menggugurkan sehingga 3,000 gelen air pada satu-satu masa dan menggunakan bahan perencat api berasaskan gel bagi mempercepat usaha mengawal kebakaran.

Amaran mengenai asap masih berkuat kuasa pada Ahad ketika anggota bomba terus bertungkus-lumus memadamkan kebakaran itu. - Bernama-Anadolu