Homestay dipecah masuk ketika bercuti, polis buru suspek

Iklan
Perkongsian di Thread pada Ahad.

MELAKA - Polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian pecah masuk sebuah unit homestay di Kota Syahbandar di sini yang tular di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Melaka Tengah, Superintenden Halim Abas berkata, pihaknya mengesan satu hantaran tular berkaitan kejadian tersebut yang melibatkan kehilangan wang tunai, telefon bimbit dan dokumen pengenalan diri milik mangsa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kes berkenaan telah dilaporkan pada 17 Jun lalu dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku antara jam 4 petang hingga 6 petang ketika pengadu bersama keluarganya berada di kawasan kolam renang apartmen berkenaan.

Iklan

“Pemeriksaan mendapati tiada kesan pecah masuk atau umpilan pada pintu utama unit terbabit. Bagaimanapun, suspek dipercayai memasuki unit melalui pintu tempat pembuangan sampah sebelum masuk ke bahagian dapur yang didapati tidak berkunci,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, seorang wanita menerusi platform Threads mendakwa kakaknya sekeluarga menjadi mangsa pecah masuk ketika menginap di sebuah homestay di Melaka.

Iklan

Menurut hantaran itu, keluarga berkenaan kehilangan wang tunai kira-kira RM1,000 serta beberapa telefon pintar. Wanita tersebut turut memuat naik gambar seorang individu yang didakwa terlibat dalam kejadian berkenaan.

Malah, dia turut mengesyaki bahawa perbuatan itu mungkin melibatkan individu yang mempunyai akses atau pengetahuan mengenai kawasan kondominium tersebut.

Beliau berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan tersebut tidak berjaya mengenal pasti suspek kerana kamera hanya dipasang di kawasan lif.

“Suspek dipercayai menggunakan laluan tangga untuk bergerak naik dan turun dari bangunan berkenaan bagi mengelakkan dikesan,” katanya.

Mengulas mengenai satu hantaran di platform media sosial Threads yang mendakwa individu dirakam menerusi CCTV lif merupakan suspek kejadian, Halim berkata, dakwaan tersebut masih belum dapat disahkan.

“Hasil penelitian lanjut mendapati rakaman itu tidak menunjukkan individu berkenaan membawa sebarang barang yang dilaporkan hilang dan identitinya juga belum dapat dipastikan sebagai suspek.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana boleh mengganggu siasatan polis,” katanya.

Tambah beliau, usaha mengesan suspek sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah dan Detektif Risikan Operasi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Selain itu, tindakan mengesan lokasi telefon bimbit yang dilaporkan hilang turut diteruskan walaupun kedua-dua peranti tersebut didapati telah dimatikan sejak hari kejadian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.