Strategi gabung UMNO, Pas mampu tawan Selangor - Ahmad Nawawi

Iklan
UMNO dan Pas jika bergabung berpotensi besar untuk menawan semula Selangor sekali gus membentuk blok Melayu paling dominan di negeri itu. Gambar kecil: Datuk Ahmad Nawawi M Zain

SHAH ALAM - UMNO dan Pas jika bergabung berpotensi besar untuk menawan semula Selangor sekali gus membentuk blok Melayu paling dominan di negeri itu.

Pengerusi Veteran UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi M Zain berkata, kedua-dua parti itu memiliki kekuatan akar umbi yang jika digabungkan mampu mencabar kedudukan parti pemerintah sedia ada di Selangor.

Iklan
Iklan

"Kalau kita lihat secara kasar, UMNO belum mampu lagi untuk bergerak solo di Selangor, tapi kalau ada kerjasama dengan Pas, Insya-Allah ia boleh jadi kekuatan besar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Terdahulu, pandangan sama turut dilontarkan beliau semasa dalam Mesyuarat Veteran UMNO Bahagian Shah Alam di Bangunan UMNO Selangor di sini pada Ahad.

Iklan

Ahmad Nawawi yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Renggam dan Kota Anggerik berkata, UMNO dan Pas ketika ini masih kekal sebagai blok Melayu terbesar di negara ini berbanding parti lain termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) serta parti komponen lain.

Katanya, walaupun terdapat perbezaan pendekatan antara UMNO yang lebih sederhana dan Pas berteraskan imej Islam, namun asas perjuangan kedua-dua parti masih mempunyai banyak persamaan dari segi agama dan kepentingan Melayu.

Iklan

"Cuma pendekatan sahaja berbeza, tapi matlamatnya tetap sama, saya berpandangan tidak mustahil untuk kita duduk berbincang dan mencari titik persamaan,” jelasnya.

Mengulas kemungkinan pembahagian kerusi jika kerjasama itu direalisasikan, Ahmad Nawawi berkata, pembahagian itu perlu berdasarkan kekuatan semasa dan kawasan yang sesuai, termasuk pertimbangan strategi politik setempat.

Beliau turut memberi contoh pembahagian peranan pentadbiran di kawasan tertentu sekiranya gabungan itu menjadi kenyataan.

"Contohnya jika Pas bertanding di dua DUN, UMNO pula bertanding di Parlimen dan begitu juga sebaliknya agar kedua-dua parti saling melengkapi dalam aspek khidmat kepada rakyat," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan soal calon berkaliber bagi memegang jawatan penting seperti Menteri Besar juga bergantung kepada keupayaan individu itu sendiri dalam menunjukkan kepimpinan di peringkat akar umbi.

"Pemimpin itu mesti ada pengaruh, diterima rakyat dan mampu menang di peringkat kawasan.

"Bila sudah diberi tanggungjawab, barulah kebolehan sebenar akan terserlah," tambah beliau.