SHAH ALAM - Selepas BUDI95 untuk petrol RON95, kerajaan kini memperkenalkan mekanisme subsidi diesel berasaskan MyKad di seluruh negara mulai Julai depan.
Melalui sistem baharu itu, rakyat Malaysia yang layak akan menikmati harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter berbanding RM2.15 seliter ketika ini, manakala bukan warganegara perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, penurunan harga itu akan dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang seragam di seluruh negara menggunakan mekanisme berasaskan MyKad, selaras pendekatan Budi Madani RON95 (BUDI95).
"Melalui pembaharuan ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara.
"Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, kerajaan melaksanakan subsidi diesel menerusi dua mekanisme berasingan iaitu bantuan tunai BUDI Diesel dan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Berdasarkan kenyataan MOF sebelum ini, BUDI Diesel memberi manfaat kepada kira-kira 340,000 pemilik kenderaan diesel individu yang layak, petani dan pekebun kecil menerusi bantuan RM300 sebulan, manakala SKDS melibatkan lebih 398,000 kenderaan logistik dan pengangkutan awam yang menikmati diesel bersubsidi menggunakan sistem kad armada.
Dalam pada itu, MOF menjelaskan langkah tersebut penting ketika krisis Asia Barat terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global, selain memastikan subsidi kerajaan hanya dinikmati rakyat Malaysia.
Menurutnya, pembaharuan berkenaan dijangka dapat mengurangkan ketirisan serta aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi yang berlaku susulan perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga tanpa subsidi.
"Ketika ini, diesel masih dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak Sabah dan Sarawak berbanding harga runcit diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia.
"Dengan pembaharuan penyasaran subsidi diesel, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan kepada harga runcit di Semenanjung Malaysia dan dengan itu, bukan warganegara tidak lagi menikmati subsidi.
"Pada masa yang sama, rakyat di Sabah dan Sarawak yang memiliki kenderaan diesel akan menikmati pengurangan harga runcit daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter," jelasnya.
Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel itu dijangka diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Isnin.