Dua suspek kes 'culik palsu' direman 14 hari, dibawa ke Sarawak

Iklan
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar

KUALA LUMPUR - Dua individu yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes penculikan palsu di Sarawak direman selama 14 hari dan akan dibawa ke negeri itu pada Ahad bagi siasatan lanjut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, perintah reman terhadap kedua-dua suspek termasuk wanita yang didakwa menjadi mangsa penculikan itu diperoleh pada Ahad.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kedua-dua mereka akan dibawa ke Sarawak untuk tindakan dan siasatan lanjut.

"Permohonan reman telah dibenarkan selama 14 hari dan kedua-dua suspek akan dibawa ke Sarawak petang ini bagi membantu siasatan," katanya pada Ahad.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita warga tempatan berusia 43 tahun membuat laporan polis mendakwa anak perempuannya yang berusia 20-an diculik individu tidak dikenali yang meminta wang tebusan sebanyak RM18,000.

Susulan laporan itu, satu pasukan khas (task force) daripada JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Kontinjen Johor dan JSJ Kontinjen Sarawak telah ditubuhkan bagi mengesan serta menyelamatkan mangsa.

Iklan

Operasi yang bermula pada 19 Jun lalu sehingga 20 Jun dijalankan di sekitar Bandaraya Johor Bahru, Johor, yang merupakan lokasi terakhir mangsa dikesan.

Dalam kenyataan media sebelum ini, M Kumar memaklumkan pasukan khas berkenaan berjaya menyelamatkan gadis terbabit di sebuah rumah di kawasan Taman Perniagaan Setia, Johor Bahru kira-kira jam 3.30 petang pada Jumaat.

Katanya, seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun turut ditahan di lokasi sama bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian penculikan itu meragukan, sekali gus menyebabkan gadis yang mendakwa diculik itu turut ditahan bagi membantu siasatan.