KUALA TERENGGANU - Polis menahan dua beradik kerana disyaki menjadikan rumah mereka di Kampung Duyong Besar di sini, sebagai tempat penyimpanan dadah bernilai RM1.76 juta, Ahad lepas.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, serbuan pada jam 3.30 petang melalui Ops Tapis Khas menahan lelaki berusia 39 dan 50 tahun serta merampas bunga ganja seberat kira-kira 22 kilogram.
"Siasatan awal mendapati dua suspek itu berperanan sebagai penjaga stor kepada sindiket yang dipercayai aktif sejak Mac lepas.
Mohd Khairi berkata, dua suspek itu negatif daripada bahan terlarang manakala suspek berusia 50 tahun mempunyai 13 rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Beliau berkata, dadah dirampas itu dianggarkan boleh digunakan kira-kira 44,000 penagih dan dipercayai untuk pasaran antarabangsa.
"Bunga ganja itu perlu diproses untuk mendapatkan cecair yang kita percaya digunakan sebagai perasa rokok elektronik yang boleh mengkhayalkan,” katanya.
Mohd Khairi berkata, polis turut menyita pelbagai harta bernilai RM149,000, iaitu sebuah kereta Hyundai Tucson, motosikal BMW, Yamaha NVX dan Yamaha 135LC serta wang tunai RM6,000.
Beliau berkata, reman dua beradik itu disambung selama tujuh hari bermula hari ini, bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selain itu, beliau berkata, Ops Tapis Khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu dari 12 hingga 14 Jun menahan 243 individu dan merampas dadah seberat 22.35 kilogram bernilai RM1.79 juta. - Bernama