Rebung disangka gading gajah, wanita hampir ditahan di lapangan terbang

Iklan
Pihak berkuasa yang memeriksa sebuah objek mencurigakan akhirnya mendapati ia sebenarnya hanyalah rebung buluh bersaiz besar. Foto Khaosod English

BANGKOK – Seorang wanita di Thailand hampir ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Don Mueang baru-baru ini, selepas rebung yang dibawanya dalam bagasi disangka sebagai gading gajah ketika melalui pemeriksaan keselamatan.

Menurut laporan portal berita Khaosod English, wanita berkenaan berkongsi pengalaman itu menerusi video di TikTok selepas diarahkan membuka bagasinya susulan imej imbasan sinar-X menunjukkan objek yang menyerupai gading.

Iklan
Iklan

Katanya, pegawai keselamatan meminta bagasi tersebut diperiksa secara manual bagi memastikan ia bukan barangan larangan atau produk hidupan liar yang dilindungi.

Namun selepas pemeriksaan dilakukan, objek mencurigakan itu didapati hanyalah sebatang rebung bersaiz besar.

Iklan

Wanita itu menjelaskan bentuk rebung berkenaan, terutama bahagian hujungnya yang melengkung, menyebabkan ia kelihatan seakan-akan gading apabila dilihat menerusi imej sinar-X.

Insiden itu kemudian tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi lucu daripada netizen yang terhibur dengan salah faham tersebut.

Iklan

Dalam masa sama, ramai pengguna memuji tindakan profesional pegawai keselamatan lapangan terbang yang menjalankan pemeriksaan mengikut prosedur sebelum mengesahkan tiada sebarang kesalahan dilakukan.

Kes itu turut memperlihatkan ketelitian pihak berkuasa lapangan terbang dalam mengesan kemungkinan penyeludupan barangan terlarang, termasuk produk berasaskan gading yang tertakluk kepada kawalan perdagangan antarabangsa yang ketat.- Agensi