DAPATAN kajian Merdeka Center mengenai penarafan pemimpin dalam kalangan responden Melayu memberikan gambaran yang menarik tentang landskap politik semasa menjelang PRU16.
Lebih penting daripada sekadar melihat angka kepuasan (approval rating), analisis yang lebih bermakna ialah melalui ukuran net approval iaitu perbezaan antara peratusan yang berpuas hati dan tidak berpuas hati terhadap seseorang pemimpin.
Berdasarkan data tersebut, Khairy Jamaluddin mencatatkan kedudukan tertinggi dengan kadar kepuasan sebanyak 62 peratus berbanding 26 peratus tidak berpuas hati, menghasilkan net approval sebanyak +36 mata.
Namun, Khairy kini tidak memimpin mana-mana gabungan politik utama dan tidak mengetuai jentera pilihan raya yang mampu diterjemahkan secara langsung kepada kekuatan politik nasional.
Apa yang lebih menarik ialah kedudukan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Dr Sam. Menteri Besar Terengganu itu merekodkan kadar kepuasan sebanyak 48 peratus dengan hanya 26 peratus tidak berpuas hati, memberikan beliau net approval sebanyak +22 mata.
Ini meletakkan beliau di tangga kedua keseluruhan dan jauh meninggalkan kebanyakan tokoh politik nasional yang lain.
Sebagai perbandingan, mantan Pengerusi Perikatan Nasional merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperoleh kadar kepuasan sebanyak 49 peratus, sedikit lebih tinggi daripada Dr Sam.
Namun beliau turut mencatatkan kadar ketidakpuasan yang jauh lebih tinggi iaitu 43 peratus. Akibatnya, net approval Muhyiddin hanya berada pada paras +6 mata.
Perbezaan ini penting kerana ia menunjukkan walaupun kedua-dua pemimpin mempunyai tahap sokongan yang hampir sama, Dr Sam berdepan kadar penolakan yang jauh lebih rendah dalam kalangan responden Melayu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencatatkan net approval -6 mata dengan 45 peratus berpuas hati dan 51 peratus tidak berpuas hati.
Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berada pada kedudukan lebih rendah dengan net approval -12 mata manakala Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, merekodkan net approval paling rendah iaitu -29 mata.
Apabila analisis dibuat berdasarkan kedudukan pemimpin utama gabungan politik negara, gambaran yang muncul adalah lebih signifikan.
Dalam kalangan tokoh yang mewakili tiga gabungan utama negara iaitu Perikatan Nasional, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, Dr Sam muncul sebagai pemimpin dengan net approval tertinggi.
Beliau turut jauh mengatasi net approval Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Hakikat ini memberikan mesej politik yang penting kepada Perikatan Nasional. Dalam era politik moden, ukuran net approval sering dianggap lebih bermakna berbanding kadar populariti semata-mata kerana ia mengambil kira bukan sahaja jumlah penyokong, tetapi juga tahap penolakan terhadap seseorang pemimpin.
Seorang pemimpin yang mempunyai sokongan tinggi tetapi kadar penolakan yang juga tinggi mungkin menghadapi kesukaran untuk menarik pengundi atas pagar ketika pilihan raya.
Sebaliknya, angka yang dicatatkan oleh Dr Sam menunjukkan beliau mempunyai kombinasi yang lebih baik: tahap penerimaan yang baik serta kadar penolakan yang rendah.
Ini memberi ruang yang lebih luas untuk beliau menarik sokongan daripada kelompok pengundi sederhana dan pengundi yang masih belum membuat keputusan.
Lebih menarik lagi, dapatan ini bukanlah sesuatu yang terpencil. Beberapa kajian terdahulu yang dijalankan oleh The Future Research turut menunjukkan trend yang hampir sama.
Dalam pelbagai pengukuran melibatkan penerimaan pemimpin politik nasional, Dr Sam sering muncul sebagai antara tokoh yang mempunyai imej paling positif dalam kalangan pengundi Melayu dan pengundi muda.
Konsistensi dapatan daripada institusi penyelidikan yang berbeza memberikan petunjuk bahawa fenomena ini bukan sekadar turun naik sentimen sementara.
Sebaliknya, ia menunjukkan kewujudan asas sokongan yang semakin kukuh terhadap Dr Sam sebagai salah seorang pemimpin masa depan negara.
Dapatan ini juga hadir pada waktu yang cukup signifikan buat Perikatan Nasional. Dalam masa terdekat, gabungan itu dijangka mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi bagi membincangkan hala tuju serta strategi menghadapi PRU16.
Antara persoalan yang semakin mendapat perhatian ialah bentuk kepimpinan yang perlu ditampilkan oleh PN untuk berdepan kerajaan perpaduan dan menarik keyakinan pengundi yang lebih luas.
Dalam konteks tersebut, parti-parti komponen seperti Gerakan dan Malaysian Indian People's Party (MIPP) tentunya perlu membuat penilaian yang objektif terhadap sentimen rakyat sebelum menentukan pendekatan politik mereka pada masa hadapan.
Persoalan yang bakal timbul bukan sekadar soal pembahagian kerusi atau strategi pilihan raya, tetapi juga mengenai parti manakah yang lebih sesuai untuk menerajui dan memimpin hala tuju PN pada fasa seterusnya.
Jika ukuran yang digunakan ialah penerimaan rakyat berdasarkan data semasa, dapatan kajian ini memberikan petunjuk yang agak jelas.
Tokoh paling menonjol dalam PN ketika ini bukan datang daripada Bersatu tetapi daripada PAS melalui figura Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan mengambil kira net approval.
Malah, Dr Sam bukan sahaja mengatasi Muhyiddin Yassin dalam net approval, tetapi turut mendahului semua pemimpin utama gabungan politik negara yang masih aktif memegang jawatan penting.
Ini memberi gambaran bahawa PAS kini mempunyai aset politik yang berpotensi menjadi wajah paling berkesan untuk memperluaskan sokongan PN.
Selama ini, Bersatu memainkan peranan dominan dalam membentuk naratif dan kepimpinan gabungan. Namun, perkembangan semasa menunjukkan Pas bukan lagi sekadar penyumbang terbesar dari segi kerusi, tetapi juga mula memiliki tokoh yang mempunyai tahap penerimaan yang tinggi dalam kalangan pengundi Melayu.
Sebagai Menteri Besar Terengganu, Dr Sam berjaya membina reputasi sebagai pemimpin yang berorientasikan prestasi, teknokratik dan tidak terpalit dengan kontroversi politik nasional.
Latar belakang beliau sebagai ahli akademik serta pendekatan pentadbiran yang sederhana menjadikan beliau lebih mudah diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat berbanding ramai tokoh politik lain yang sering dikaitkan dengan polemik dan pertikaian partisan.
Atas sebab itu, dapatan kajian ini sepatutnya menjadi pertimbangan strategik yang serius menjelang PRU16.
Dalam konteks tersebut, Dr Sam dilihat mempunyai kelebihan yang sukar dinafikan. Beliau lebih muda, mempunyai kadar penerimaan yang lebih tinggi, kadar penolakan yang lebih rendah serta imej yang lebih segar untuk dipasarkan kepada pengundi generasi baharu.
Faktor-faktor ini menjadikan beliau calon yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai “poster boy” PN dalam menghadapi PRU16.
Dalam persaingan tiga penjuru antara PH, BN dan PN dalam konteks kekuatan Pengerusi gabungan masing-masing, data ini menunjukkan bahawa Perikatan Nasional mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki pesaing mereka.
Ketika pemimpin utama PH dan BN masing-masing berdepan kadar net approval negatif, PN memiliki seorang pemimpin yang bukan sahaja mencatatkan net approval positif yang tinggi, malah mempunyai kadar penolakan yang rendah.
Politik pilihan raya akhirnya bukan sekadar soal siapa yang paling dikenali atau paling berpengalaman.
Ia adalah soal siapa yang mempunyai potensi terbesar untuk menambah sokongan baharu dan mengurangkan kadar penolakan dalam kalangan pengundi.
Berdasarkan ukuran tersebut, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bukan sahaja muncul sebagai pemimpin paling berpotensi dalam Perikatan Nasional, malah berkemungkinan menjadi faktor penentu kepada masa depan gabungan itu sendiri.
Sekiranya PN mahu tampil dengan naratif pembaharuan, kestabilan dan kemenangan menjelang PRU16, data yang ada hari ini menunjukkan bahawa taruhan paling logik dan paling berdaya saing ialah meletakkan Dr Sam sebagai wajah utama dan calon Perdana Menteri Perikatan Nasional.
*Muhammad Afifi Abdul Razak ialah Felo Future Research dan penganalisis politik