Memperteguh institusi masjid madani yang membangun ummat

Iklan
Belanjawan Madani baru-baru ini, Perdana Menteri telah mengumumkan caruman PERKESO kepada 40,000 orang imam, bilal, tok siak, marbut, noja dan guru takmir. Foto kecil: Sirajuddin

FIRMAN Allah Subhanahu Wataala yang terakam dalam Surah At-Taubah, ayat 18 bermaksud: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifatsifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

Institusi masjid menjadi tempat membina kekuatan akidah umat, mendidik masyarakat melalui pengamalan syariat di samping mengukuhkan perpaduan dalam kalangan umat Islam.

Iklan
Iklan

Dalam sirah Islam, ketika Rasulullah SAW dan para sahabat berhijrah dari Mekah ke Madinah, Baginda SAW terlebih dahulu mendirikan Masjid Quba’ iaitu masjid terawal yang telah dibina pada zaman Baginda.

Begitu juga ketika sampai di Madinah, Baginda telah membangunkan Masjid Nabawi. Ini memberikan isyarat kepada kita bahawa masjid merupakan institusi penting dalam masyarakat khususnya bagi memakmurkan solat berjemaah dalam masyarakat. 

Iklan

Menyedari akan pentingnya fungsi masjid dalam komuniti, maka barisan pengurusan bersama anggota Jawatankuasa Kariah serta pegawai amat disaran memanfaatkan ruang dan peluang yang ada bagi memaksimumkan fungsi masjid dan surau sehingga akhirnya ia menjadi pusat penyatuan umat.

Barisan pengurusan, anggota Jawatankuasa Kariah dan para pegawai masjid perlu bergabung mengambil peranan bersama-sama menyuburkan penghayatan Islam melalui pemerkasaan institusi masjid dan surau sebagai pusat ibadah, pendidikan serta kebajikan masyarakat.

Iklan

Pemerkasaan ini juga meliputi aspek pembangunan sumber manusia yang berkhidmat sepenuh di institusi tersebut.

Kepentingan mengoptimumkan segala sumber yang ada di masjid termasuklah sumber kewangan melalui tabung-tabung infaq masjid dan tenaga mahir yang terdiri daripada barisan pengurusan, anggota Jawatankuasa Kariah dari pelbagai latar belakang profesion dan akademik.

Dengan mengoptimumkan sumber ini, cita-cita untuk  mengembalikan fungsi masjid sebagai institusi penting dalam kehidupan masyarakat dapat direalisasikan.

Pentadbiran Kerajaan Madani membawa satu kesungguhan untuk membangunkan negara berteraskan nilai-nilai madani yang menjulang tinggi penghayatan dalam beragama dan pembangunan modal insan.

Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa menghargai peranan dan sumbangan besar para petugas masjid dalam pembangunan rohani dan kebajikan umat Islam.

Belanjawan Madani baru-baru ini, Perdana Menteri telah mengumumkan caruman PERKESO kepada 40,000 orang imam, bilal, tok siak, marbut, noja dan guru takmir.

Caruman PERKESO ini adalah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan akan disalurkan melalui agensi Tabung Haji. 

Para pimpinan masjid di seluruh negara diseru agar dapat berganding bahu dengan pihak kerajaan bagi menggerakkan usaha peningkatan kefahaman Islam yang berlandaskan nilai-nilai kesederhanaan dalam masyarakat. 

Oleh itu, masjid-masjid hendaklah mempergiatkan pelbagai program pengajian ilmu bagi meningkatkan kefahaman dan penerapan akhlak Islamiyah dalam kehidupan masyarakat.

Ilmu-ilmu yang dibangunkan juga mesti mendorong kepada perpaduan umat bagi mendepani cabaran-cabaran besar yang sedang dihadapi masa kini. 

Perkara ini penting ditekankan demi memastikan masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan penerapan fahaman yang menimbulkan salah faham, mencetuskan kebencian atau mendorong perpecahan sesama ummah. 

Membawa gagasan besar ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menganjurkan Konvensyen Masjid Nusantara dan Anugerah Masjid Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026/1448 pada 15 Oktober 2026 (Khamis), bertempat di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya.

Bertemakan “Masjid Harmoni, Berakar Inovasi, Ummah Diberkati”, majlis ini akan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.

Penganjuran konvensyen dan anugerah masjid ini merupakan antara inisiatif di bawah Belanjawan 2026 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh institusi masjid dan syiar Islam di Malaysia.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasa peranan masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah sebagai nadi perpaduan ummah, medan penyebaran ilmu serta pemangkin pembangunan dan kesejahteraan komuniti.

Konvensyen Masjid Nusantara dijangka menghimpunkan 1,500 peserta yang terdiri daripada pemimpin dan pentadbir masjid, imam, agamawan, ilmuwan, wakil belia serta pertubuhan bukan kerajaan dari dalam dan luar negara.

Penglibatan wakil negara Nusantara diharap dapat memperluas jaringan kerjasama strategik, di samping membuka ruang perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan serta pengimarahan masjid yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat semasa. ⁠

Antara sorotan utama konvensyen ialah ucaptama oleh Tan Sri Abdul Rashid Hussain bertajuk “Masjid Harmoni, Berakar Inovasi, Ummah Diberkati”.

Konvensyen ini turut mengetengahkan empat fokus perbincangan iaitu Transformasi Pengurusan Masjid, Kreativiti dan Inovasi Program Masjid, Pembinaan Generasi Belia MADANI serta Masjid Harmoni.

Perbincangan ini diharap dapat memperluas perkongsian ilmu, mencetuskan idea baharu dan menghasilkan pendekatan strategik bagi memperkasa pengurusan serta pengimarahan masjid agar terus relevan, inklusif dan berdaya maju dalam memenuhi keperluan ummah.

Sebagai pengisian utama program, Anugerah Masjid Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026/1448 akan menjadi platform pengiktirafan terhadap masjid yang mencapai kecemerlangan dalam aspek pengurusan, pengimarahan, prasarana dan persekitaran.

Penganugerahan ini bukan sekadar meraikan pencapaian, malah diharap dapat menyemarakkan budaya kecemerlangan, menggalakkan inovasi serta mendorong penambahbaikan berterusan dalam kalangan institusi masjid di seluruh negara.

Semoga penganjuran Konvensyen Masjid Nusantara dan Anugerah Masjid Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026/1448 ini dapat memperkukuh kerjasama serantau, menyemarakkan budaya perkongsian ilmu serta meningkatkan penglibatan aktif belia dalam pengimarahan masjid.

Usaha ini penting bagi memastikan masjid terus berfungsi sebagai institusi yang menyatukan masyarakat, membina generasi berilmu dan berakhlak serta menjadi pemangkin kesejahteraan ummah.

*Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia