RAUB - Seorang wanita tidak berdaya menolak takdir apabila disahkan menghidap kanser payudara tahap empat sejak setahun lalu.
Ujian berat yang dilalui Nurul Jannatul Syazwani Mohamad, 27, dari Kampung Gali Hilir di sini pada usia muda mengubah seluruh perjalanan hidupnya.
Sejak disahkan menghidap penyakit berkenaan, wanita bertubuh kecil ini telah menjalani rawatan berterusan dan kini memerlukan rawatan susulan di China yang dianggarkan berjumlah RM85,000.
Perjuangan Nurul Jannatul Syazwani mendapatkan keprihatinan daripada kerajaan Pahang apabila Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal meluangkan masa melihat sendiri perkembangan kesihatannya.
Fadzli berkata, dalam ziarah terbaru sumbangan sebanyak RM10,000 diberikan bagi membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung Syazwani dan keluarganya.
"Saya berkesempatan menziarahi Syazwani buat kali kedua dan turut menyampaikan sumbangan daripada kerajaan Pahang bagi menampung kos rawatan diperlukannya.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai yang berkemampuan supaya tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban kos rawatan yang perlu ditanggung Syazwani.
Ujarnya, sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Maybank atas nama Nurul Jannatul Syazwani Mohamad bernombor 556244123308.
“Semoga ALLAH SWT mengurniakan kesembuhan dan mempermudahkan segala urusan rawatan beliau,” katanya.