KOTA BHARU – Parti Bersama Malaysia (Bersama) memilih pendekatan struktur organisasi mendatar bagi menghapuskan budaya lobi dan amalan lapisan kuasa tradisional yang sering berlaku dalam parti politik sedia ada.
Pemimpin parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, pendekatan tersebut membolehkan setiap ahli berhubung secara langsung dengan kepimpinan tanpa melalui pelbagai peringkat organisasi.
Menurutnya, sistem berlapis yang diamalkan kebanyakan parti politik sering mewujudkan budaya perebutan jawatan dan pengaruh sehingga menjejaskan usaha membina kepimpinan baharu.
“Sebab itu kami pilih struktur mendatar supaya setiap ahli boleh berhubung terus dengan kepimpinan dan menyumbang kepada parti tanpa halangan birokrasi,” katanya ketika Jelajah Kancil di Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini pada Sabtu.
Rafizi berkata, model itu turut dibantu oleh sistem digital yang membolehkan arahan dan pengurusan parti disampaikan terus kepada ahli tanpa perlu melalui peringkat negeri, bahagian atau cawangan.
Menurut beliau, pendekatan tersebut membolehkan Bersama bergerak lebih pantas berbanding parti politik konvensional.
“Dalam sistem lama, arahan perlu turun dari pusat ke negeri, kemudian ke bahagian dan seterusnya ke cawangan sebelum sampai kepada ahli.
“Proses itu lambat, sedangkan kita mahu memastikan potensi setiap ahli dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, selepas pilihan raya nanti parti itu bercadang mewujudkan lapisan organisasi negeri secara lebih tersusun bagi membolehkan pemilihan kepimpinan dilakukan berdasarkan prestasi sebenar.
Katanya, pemimpin yang dipilih kelak perlu membuktikan kemampuan mengurus dan memimpin ahli terlebih dahulu sebelum diberi tanggungjawab lebih besar.
“Kami mahu pemimpin semula jadi muncul daripada bawah. Ahli sendiri akan tahu siapa yang benar-benar bekerja dan mampu memimpin.
“Apabila tiba masa pemilihan, kita tidak perlu budaya lobi atau kem kerana ahli sudah boleh menilai sendiri siapa yang layak,” katanya.
Rafizi berkata, pendekatan itu merupakan sebahagian usaha Bersama untuk membina budaya politik baharu yang lebih terbuka, profesional dan berasaskan merit.