PEMAIN skuasy negara, S Sivasangari gagal merangkul gelaran juara Final Jelajah PSA 2025-2026 selepas tewas 1-3 kepada pemain nombor satu dunia, Hania El Hammamy dari Mesir dalam perlawanan akhir wanita di Paris pada Sabtu.
Meskipun kecundang, pemain nombor lima dunia itu menutup tirai kempen dengan muncul naib juara, sekali gus menghadiahkan pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan berprestij itu sejak legenda skuasy negara, Nicol Ann David mara ke perlawanan akhir pada 2012.
Sivasangari, yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan, tewas 6-11 pada permainan pertama sebelum bangkit memenangi aksi kedua 11-10 ke atas pemain pilihan kedua itu.
Bagaimanapun, El Hammamy kembali menguasai perlawanan dan memenangi dua lagi permainan berikutnya 11-8, 11-8 untuk mengesahkan kejuaraan.
Sivasangari menempah tiket ke perlawanan akhir selepas melakar kejutan besar dengan menewaskan pemain nombor dua dunia dan pilihan utama dari Mesir, Amina Orfi, 8-11, 11-10, 11-8, 11-10 dalam aksi separuh akhir yang berlarutan selama 74 minit.
Pencapaian naib juara itu meneruskan prestasi cemerlang sepanjang 2026 selepas turut menjuarai Piala Grasshopper di Zurich pada April lepas. - Bernama