ABUJA - Seorang lelaki di utara Nigeria dijatuhi hukuman penjara dua minggu selepas jiran-jirannya mengadu bahawa dia menyimpan guni berisi najis manusia di luar rumahnya yang menyebabkan ketidakselesaan di kawasan kejiranan itu.
Mohammed Saidu dibawa ke mahkamah di bandar Kano selepas penduduk melaporkan bau busuk itu kepada pihak berkuasa alam sekitar.
Majistret Halima Wali turut mengenakan denda berjumlah 100,000 naira (RM304) ke atas tertuduh.
Beliau menyifatkan tindakan lelaki tersebut sebagai sangat tidak bertimbang rasa dan mengancam kesihatan jiran tetangga.
Saidu yang bekerja sebagai pembersih tangki septik menjual najis tersebut kepada petani untuk dijadikan baja.
Terdapat hampir 50 guni najis ketika aduan pertama diterima.
Saidu mengaku bersalah atas pertuduhan membahayakan kesihatan awam.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Wali turut melawat lokasi berkenaan bagi melihat sendiri longgokan guni berisi najis tersebut. - Agensi