Beberapa individu telah memberi impak yang menggerunkan dalam minda masyarakat seperti pembunuh bersiri. Mereka turut menjadi inspirasi kepada watak seram ikonik dan pelbagai adaptasi dramatik di kaca TV atau layar perak. Fakta sebenar mengenai jenayah kejam mereka kadangkala sukar dibuktikan malah ada yang masih gagal dirungkai hingga kini. Berikut ialah 10 pembunuh bersiri paling terkenal dalam sejarah.
----------
1. Jack the Ripper
Pada 1888, daerah Whitechapel di London digemparkan dengan kemunculan lelaki tidak dikenali digelar Jack the Ripper yang memancing pelacur ke lorong gelap sebelum menyembelih dan mencacatkan tubuh mereka dengan kejam. Tanpa teknologi forensik moden, polis pada era Victoria gagal mengenal pasti pelaku. Dia hilang tanpa jejak selepas pembunuhan terakhir. Kes ditutup pada 1892 dan Jack the Ripper kekal menjadi misteri sehingga kini.
2. H H Holmes
Bermula sebagai penipu insurans sebelum membina 'istana pembunuhan' di Chicago semasa Pameran Dunia 1893. Bangunan itu dipenuhi bilik rahsia, laluan tersembunyi dan perangkap maut. Holmes membawa mangsa kebanyakannya wanita muda ke bangunan itu sebelum membunuh mereka menggunakan gas beracun atau melakukan eksperimen kejam. Mayat mereka dilupuskan melalui relau atau dijual kepada sekolah perubatan. Dia akhirnya ditangkap dan dihukum gantung pada 1896 selepas mengaku membunuh sekurang-kurangnya 27 mangsa.
3. Belle Gunness (Lady Bluebeard)
Wanita yang digelar Lady Bluebeard ini berhijrah dari Norway ke Amerika pada 1881. Selepas beberapa insiden kematian mencurigakan termasuk suaminya, dia berpindah ke ladang di Indiana. Gunness kemudian mencari suami baharu melalui ruang iklan, tetapi ramai lelaki yang kemudiannya hilang tanpa jejak. Pada 1908, ladangnya terbakar dan beberapa mayat ditemui termasuk kanak-kanak. Nasib sebenar wanita itu masih menjadi misteri dengan pelbagai penampakan tidak disahkan dilaporkan bertahun-tahun selepas kematiannya.
4. Ed Gein (Butcher of Plainfield)
Dibesarkan di Wisconsin dalam persekitaran terpencil dan mempunyai seorang ibu yang dominan. Gein tinggal seorang diri di rumah ladang selepas kematian keluarganya. Pada 1957, polis menemui mayat tanpa kepala di rumahnya dan pelbagai barangan pelik dibuat daripada bahagian tubuh manusia. Dia juga didakwa mencuri mayat dari kubur. Gein disahkan tidak waras dan ditempatkan di hospital mental sehingga meninggal dunia kerana komplikasi barah pada 1984.
5. Ted Bundy (The Campus Killer)
Lelaki tampan dan berpendidikan tinggi yang mengejutkan dunia dengan siri pembunuhan terhadap wanita muda pada tahun 1970-an. Dia pernah melarikan diri dari tahanan beberapa kali sebelum akhirnya ditangkap. Kes Bundy menjadi tumpuan media selepas mangsa terakhir berusia 12 tahun diperkosa lalu dibunuh. Dia dihukum mati dengan kerusi elektrik pada 1989. Jumlah mangsanya juga tidak diketahui.
6. John Wayne Gacy (The Killer Clown)
Dikenali sebagai Killer Clown kerana sering menghiburkan kanak-kanak. Namun di sebalik itu, dia membunuh remaja lelaki. Pada 1978, polis menemui 29 mayat termasuk budak di bawah rumahnya. Dia didapati bersalah atas 33 pembunuhan dan dihukum mati dengan suntikan maut pada 1994.
7. Harold Shipman (Dr Death)
Seorang doktor di Britain yang membunuh pesakitnya sendiri kebanyakannya wanita tua yang uzur. Dia dipercayai membunuh lebih 200 orang dengan memberi ubat dos maut sejak 1972. Dia ditahan selepas terdapat kejanggalan dalam sijil kematian. Pada 2000, Shipman dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol selepas berdepan 15 pertuduhan membunuh. Dia bagaimanapun mengambil nyawanya sendiri di sebalik tirai besi empat tahun kemudian.
8. Aileen Wuornos (The Damsel of Death)
Wuornos melalui kehidupan yang sukar sejak kecil dan terpaksa menjadi pekerja seks serta terlibat dalam kegiatan jenayah. Dia membunuh sekurang-kurangnya tujuh lelaki di Florida atas alasan untuk mempertahankan diri. Wuornos diberkas pada 1991 dan mengaku melakukan pembunuhan itu melalui panggilan telefon bersama seorang rakan sejenayahnya. Wanita itu dihukum mati dengan suntikan maut pada 2002.
9. Dennis Rader (The BTK Killer)
Lelaki biasa yang aktif dalam aktiviti komuniti, tetapi sebenarnya mempunyai sisi gelap yang menakutkan. Dia membunuh sekurang-kurangnya 10 orang termasuk kanak-kanak dari 1974 hingga 1991 sebelum ditahan pada 2005 selepas menghantar petunjuk kepada polis. Dia mengaku bersalah atas perbuatan jenayahnya dan dihukum penjara seumur hidup.
10. Jeffrey Dahmer (The Milwaukee Monster)
Dia melakukan pembunuhan pertama ketika berusia 18 tahun. Dahmer membunuh 17 lelaki antara 1978 dan 1991. Dia diberkas selepas seorang mangsa berjaya melarikan diri. Serbuan ke atas kediamannya menemui foto mayat yang telah dikerat dan tab berisi asid untuk menghapuskan 17 mangsanya. Ketika dibicarakan, Dahmer meraih tumpuan selepas mengaku turut memakan sebahagian tubuh mangsa. Pada 1992, dia dijatuhi hukuman penjara 957 tahun, namun dia dibunuh oleh seorang banduan di sel tahanan, dua tahun kemudian.