BESUT - Surau Al-Amin di Kampung Padang Tapong, di sini mencipta kelainan apabila memberi kepercayaan sepenuhnya kepada barisan ahli jawatankuasa (AJK) muda berusia bawah 40 tahun untuk menerajui pengurusan surau sehingga berjaya meraih gelaran Johan Surau Terbaik Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1448 Hijrah/2026 baru-baru ini.
Pengerusinya, W Mohd Hassan Badri W. Othman berkata, hampir kesemua ahli AJK surau terdiri daripada mereka yang berusia 40 tahun ke bawah.
"Bagi memastikan surau sentiasa dekat di hati komuniti, kami juga melaksanakan program ziarah melibatkan kunjungan antara lima hingga tujuh buah rumah penduduk kampung dalam kariah surau pada setiap Rabu.
"Kunjungan ringkas sekadar bertanya khabar ini turut disertakan dengan buah tangan berupa barangan keperluan dapur," katanya ketika ditemui di Surau Al-Amin Kampung Padang Tapong, di sini, baru-baru ini.
Katanya, selain itu jawatankuasa pengurusan surau turut menyediakan jamuan makan tiga kali sehari iaitu selepas solat Zohor, Asar, dan Isyak pada setiap Ahad.
Menurutnya, projek jamuan itu dilaksanakan sejak 2023 melalui sumbangan orang ramai dan semua juadah dimasak sendiri oleh jemaah wanita di dapur surau.
Jelas beliau, pihak surau turut menganjurkan pelbagai aktiviti sukan seperti kejohanan bola sepak di samping menyediakan program latihan pengurusan jenazah, kuliah Maghrib dan membaiki rumah asnaf secara gotong-royong.
"Projek ini digerakkan sepenuhnya menggunakan dana sumbangan orang ramai. Melalui pendekatan ini, bebanan golongan miskin dapat diringankan, di samping mendekatkan penduduk dengan surau.
"Kita juga mendirikan sudut gerobok infak di surau dengan menyediakan barangan dapur asas seperti beras dan gula kepada penduduk yang memerlukan," katanya.
Bagi memastikan institusi itu sentiasa hidup, pengurusan surau turut mengatur pelbagai pengisian aktiviti lain seperti program rehlah santai dan kelas Iqra' dewasa.
W Mohd Hassan Badri berkata, bangunan asal surau yang diperbuat daripada kayu sejak tahun 1970an itu kini telah digantikan dengan bangunan baharu yang dibina melibatkan dua fasa bermula tahun 2024.
"Kerja pembinaan surau baharu yang boleh membuatkan 350 jemaah ini dibuat secara gotong royong oleh penduduk tanpa mengupah tukang luar.
"Projek berkenaan siap sepenuhnya awal tahun ini dengan anggaran kos melebihi RM250,000 hasil sumbangan sepenuhnya daripada orang ramai dalam bentuk wang tunai dan barangan binaan," ujarnya.