JAKARTA – Pemimpin Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia mengadakan perbincangan dengan penunjuk perasaan pada Jumaat susulan siri protes yang dilancarkan oleh kumpulan penuntut universiti sejak minggu lalu.
Timbalan Speaker Dewan, Sufmi Dasco Ahmad daripada Parti Gerindra dan Saan Mustopa mewakili Parti NasDem hadir bertemu peserta protes selepas sesi perbincangan bersama beberapa wakil pelajar di dalam kompleks dewan berkenaan.
"Kami telah berinteraksi dengan baik walaupun masanya agak terhad. Kami akan terus meningkatkan lagi penglibatan dengan wakil pelajar,” kata Dasco
Saan berkata, beberapa isu utama yang dibangkitkan wakil pelajar termasuk program Makan Bergizi Gratis (MBG) dan kenaikan harga bahan api telah dibincangkan dalam pertemuan tersebut bersama ketua agensi serta menteri yang turut serta secara dalam talian.
Pemimpin DPR itu turut berjanji untuk memudahkan dialog dengan pegawai kerajaan berhubung tuntutan penunjuk perasaan.
Kumpulan protes itu berhimpun sambil melaungkan slogan menuntut kerajaan menghentikan ‘perbelanjaan negara yang membazir’ dan menggantung program utama yang disifatkan kurang bermanfaat.
Penunjuk perasaan kebanyakannya terdiri daripada mahasiswa Universiti Trisakti, Universiti Mercu Buana, Universiti Esa Unggul dan ahli Himpunan Mahasiswa Islam turut melaungkan slogan 'Indonesia dalam Keadaan Darurat: Rakyat Bersatu Menentang Kerajaan'. - Agensi