9 juta rakyat terima manfaat STR, SARA babit peruntukan RM15 bilion

Iklan
Amir Hamzah Azizan melihat produk jualan di tapak Jualan Rahmah ketika menghadiri Program Penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Dewan Mahligai Gading Lundu, hari ini. - Foto: Bernama

LUNDU - Seramai sembilan juta penerima di seluruh negara kini memperoleh manfaat daripada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan memperuntukkan sekitar RM15 bilion bagi pelaksanaan kedua-dua bantuan itu untuk tahun ini berbanding RM10 bilion pada 2024.

Iklan
Iklan

Bagi Sarawak pula kata beliau, sebanyak RM1.3 bilion diperuntukkan untuk hampir 900,000 penerima STR dan SARA di negeri tersebut.

Menurutnya, Kementerian Kewangan (MoF) menyediakan 20 lokasi di Sarawak dan 17 di Sabah bagi memudahkan penerima STR yang tidak mempunyai akaun bank untuk menuntut bantuan secara tunai sekali gus memastikan ia sampai secara terus kepada kumpulan sasar.

Iklan

"Setakat ini, program sudah dilaksanakan di 15 lokasi di Sarawak dan lima lagi lokasi pada minggu depan.

"Penerima STR tanpa akaun bank juga boleh membuat tuntutan bantuan secara tunai di semua cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian sewaktu sidang akhbar selepas Program Penunaian STR dan Perkhidmatan Komuniti Bergerak Mini (Mini-MCS) di Dewan Mahligai Gading, Sarawak pada Sabtu.

Amir Hamzah memaklumkan, penerima yang layak turut menerima SARA selain STR iaitu bantuan bulanan untuk membeli barangan keperluan harian di premis berdaftar sebagai Rakan Niaga SARA.

Tambah beliau, Sarawak mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam pelaksanaan SARA apabila 99 peratus penerima menggunakan MyKad untuk membuat pembelian di premis berdaftar.

"Ini membuktikan bahawa mekanisme SARA berasaskan MyKad adalah mudah, selamat dan berkesan terutama di kawasan luar bandar," ujarnya.

Jelas beliau, nilai kredit SARA diterima antara RM600 hingga RM2,400 setahun mengikut kategori kelayakan dan boleh mencecah RM2,500 termasuk SARA Penghargaan yang disalurkan secara 'one-off'.

Dalam masa sama, katanya, jumlah Rakan Niaga SARA di seluruh negara meningkat kepada 13,491 premis setakat 16 Jun lalu berbanding hanya 700 premis pada 2024.

Mengenai Mini-MCS, beliau berkata, program yang menghimpunkan 11 agensi kerajaan itu akan diperluaskan ke lebih banyak lokasi.

"Ia bagi memudahkan rakyat mendapatkan bantuan dan perkhidmatan kerajaan dengan lebih cepat serta berkesan," menurutnya.