KULAI – DAP buat pertama kali akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 dengan meletakkan calon, Mohamad Syafwan Ani sebagai wakil Pakatan Harapan (PH).
Mohamad Syafwan bukan nama asing di kawasan tersebut apabila beliau sebelum ini aktif berkhidmat sebagai pembantu khas Ahli Parlimen Kulai serta kerap turun padang bersama masyarakat sejak beberapa tahun lalu.
Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemilihan calon dibuat berdasarkan pengalaman serta penglibatan berterusan beliau dalam kerja-kerja masyarakat di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, faktor pemahaman terhadap keperluan penduduk setempat menjadi antara pertimbangan utama dalam menentukan calon yang bakal mewakili parti.
“Calon yang dipilih mempunyai pengalaman di lapangan dan sentiasa dekat dengan masyarakat,” katanya selepas Majlis Pengumuman Calon Bukit Permai dan Senai di Bilik Gerakan PH Senai pada Sabtu.
Dalam masa sama, beliau turut mengumumkan penyandang DUN Senai, Wong Bor Yang akan terus diberi kepercayaan untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN kali ini.
DAP menyasarkan kemenangan di ketiga-tiga kerusi DUN di bawah Parlimen Kulai iaitu Senai, Bukit Batu dan Bukit Permai bagi memperkukuhkan kedudukan Pakatan Harapan di kawasan tersebut.
Secara keseluruhan, DAP Johor akan mempertaruhkan 17 calon pada PRN kali ini melibatkan pelbagai kaum termasuk calon Melayu, India dan Cina, selain menampilkan lebih ramai calon wanita dalam barisan kali ini.
Senarai penuh calon selebihnya akan diumumkan oleh kepimpinan PH pada majlis pengumuman rasmi di Tangkak, Isnin ini.