JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Amira Aisya Abd Aziz mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri sebaliknya akan bertanding di kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang.
Sementara Rashifa Aljunied, 26, yang juga Ketua Pegawai Pejabat Presiden Muda serta anggota utama Pusat Khidmat Puteri Wangsa diumumkan sebagai calon Muda bagi DUN Puteri Wangsa.
Amira Aisya berkata, keputusan bertanding kerusi Parlimen dibuat kerana banyak isu di peringkat nasional perlu diperjuangkan termasuk pendidikan, kesihatan, kos sara hidup dan suara anak muda.
"Selepas empat tahun berkhidmat di Puteri Wangsa, banyak isu yang sebenarnya di bawah di bidang kuasa Parlimen.
"Lantang mana pun kita angkat suara rakyat, tetapi tiada polisi dasar yang boleh digubal di peringkat DUN kerana ia bidang kuasa Parlimen," katanya pada Majlis Pengumuman Calon Muda di Taman Daya di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, penyandang kerusi DUN Puteri Wangsa itu berhasrat untuk memberi fokus kerusi Parlimen di daerah Johor Bahru.
"Saya boleh cakap sekarang, sudah tentu saya ada nilai sentimental yang sangat tinggi di Puteri Wangsa dan juga di kerusi Tebrau.
"Saya ini dilahirkan di Kampung Melayu Majidee dan seluruh Johor Bahru ini adalah taman permainan saya dari kecil. Mana-mana kerusi nanti kita akan putuskan di peringkat pimpinan, tetapi macam yang saya kongsikan fokus saya adalah angkat suara Puteri Wangsa dan Johor Bahru di Parlimen.
"Saya tidak mahu jadi seperti parti-parti lama yang hanya fikir strategi menang dan kuasa semata-mata, tetapi saya mahu fikir bagaimana cara untuk berkhidmat pada rakyat," katanya.
Amira Aisya adalah wakil tunggal Muda yang memenangi kerusi DUN pada PRN Johor 2022.
Beliau memenangi kerusi DUN Puteri Wangsa dengan undian sebanyak 22,884 mengalahkan lima pencabarnya termasuk Ng Yew Aik dari Barisan Nasional (BN) dan Steven Choong dari Parti Bangsa Malaysia (PBM).